Saham CIMB dibuka lebih rendah hari ini.

Harga saham anak syarikat Khazanah Nasional Bhd itu jatuh sebanyak 0.51 peratus di dagangan awal pada 10 pagi ke paras RM5.86 susulan laporan peletakan jawatan Datuk Seri Nazir Razak dari Lembaga Pengarah Khazanah, hari ini.

Khazanah Nasional merupakan pemegang saham terbesar di dalam syarikat perbankan kedua terbesar di negara.


BACA: Lembaga Pengarah Khazanah letak jawatan

BACA: Bursa Malaysia dibuka tinggi

Khazanah Nasional dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan, sembilan pengarah syarikat tersebut telah menawarkan diri untuk meletak jawatan bagi memberi laluan kepada kerajaan untuk membuat keputusan tentang kepimpinan dan hala tuju dana kekayaan kedaulatan tersebut.

Namun demikian, peletakan jawatan ini belum dapat disahkan oleh Jabatan Perdana Menteri mahupun Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Selain Nazir, terdapat seorang bekas ahli CIMB, Tan Sri Md Nor Md Yusof, turut menawarkan diri untuk meletakkan jawatan dari Lembaga Pengarah Khazanah.

Sebelum ini, Md Nor pernah memegang jawatan Ketua Eksekutif CIMB sebelum dilantik sebagai Pengerusi syarikat perbankan itu.

Pengarah Khazanah Nasional yang lain turut membuat keputusan untuk meletakkan jawatan ialah Datuk Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Raja Tan Sri Arshad Raja Uda.

Keputusan itu dibuat beberapa minggu selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Khazanah Nasional kerana menyimpang daripada tujuan asal dalam membantu Bumiputera.