Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Saham TNB naik didorong pengumuman rangka kerja tarif baharu

41741335886_tnb.jpg
Pada 10.28 pagi, harga saham TNB meningkat 14 sen kepada RM13.24 dengan 1.31 juta saham diniagakan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Harga saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkat pada awal dagangan pada Rabu berikutan pengumuman mengenai rangka kerja tarif yang terkini.

Pada 10.28 pagi, harga saham TNB meningkat 14 sen kepada RM13.24 dengan 1.31 juta saham diniagakan.

Pada Jumaat lepas, syarikat utiliti nasional itu mengumumkan bahawa ia akan menyediakan RM120 juta hingga RM150 juta bagi menyokong langkah perlindungan berkaitan bil elektrik bagi tempoh September hingga Disember 2026.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, rangka kerja tarif terkini di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) memberikan kestabilan dan ketelusan yang lebih baik, terutamanya melalui mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang dinamik, membolehkan kos bahan api diperoleh semula dengan lebih cepat dan melindungi TNB daripada turun naik harga bahan api.

“Permintaan terhadap elektrik turut dijangka kekal kukuh pada masa depan, dengan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus dijangkakan pada tahun kalendar 2026,” menurutnya.

Oleh itu, MBSB Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap TNB dengan harga sasaran berasaskan aliran tunai diskaun (DCF) tidak berubah pada RM16.31.

Public Investment Bank Bhd turut mengekalkan unjuran pendapatannya dan saranan ‘mengatasi pasaran’ terhadap TNB, dengan harga sasaran tidak berubah pada RM16.00.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement