Beberapa anak syarikat milik penuh SapuraKencana Petroleum Bhd telah memperoleh kontrak kejuruteraan dan pembinaan di Mexico, Indonesia, Vietnam dan India bernilai US$269 juta (RM969 juta).

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, syarikat itu berkata, di Mexico, kontrak itu diperoleh SapuraKencana Mexicana S.A.P.I. de C.V daripada PEMEX Exploración y Producción PEP, yang bernilai antara US$41.2 juta dan US$98.1 juta.

Ia merangkumi kerja pemasangan struktur dan superstruktur platform kekal marin, peletakan paip dan pengangkatan peralatan utama penjanaan kuasa dengan menggunakan kapal angkat berat DP3, SapuraKencana 3500 di Teluk Campeche di Teluk Mexico.

Di Indonesia, satu konsortium antara SapuraKencana TL Offshore Sdn Bhd (SKTLO) dan PT Encona Inti Industri mendapat kontrak untuk pemasangan saluran paip di pantai dan pesisir pantai bagi pembinaan saluran paip penghantaran gas asli Kalija 1 di segmen KepodangTambak Lorok.

"Kontrak bernilai US$97.5 juta itu diberikan PT PGAS Solution dan mengandungi skop kerja untuk pengangkutan dan pemasangan saluran paip 14 inci sepanjang 200 kilometer dari luar pesisir medan ke kemudahan penerimaan di pantai.

"Kerja terbabit akan dijalankan di Muriah PSC, Jawa Tengah, Indonesia," kata SapuraKencana.

Sementara itu, tiga kontrak di Vietnam dan satu di India bernilai US$73.5 juta diperoleh SKTLO.

"Ia membabitkan kerja-kerja untuk Thai Binh Development Project di Blok 102 dan 106 di Vietnam dan projek penggantian penaik julangan gas PB di India," kata syarikat itu.

SapuraKencana menjangka semua kontrak terbabit akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan dan aset bersih sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2016.