KUCHING: Kerajaan Sarawak menuntut peruntukan tambahan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) selari dengan fokus ketujuhnya untuk mengurangkan jurang pembangunan negeri itu.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan diberikan kepada Sarawak menerusi RMK-12 sebanyak RM4.47 bilion masih rendah untuk mempercepat dan merapatkan jurang pembangunan lebih-lebih lagi mengambil faktor keluasan geografi Sarawak.

“Telah diperhatikan bahawa Fokus Ketujuh RMK-12 Nasional adalah ‘Meningkatkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri yang Tidak Berkembang’. 

"Peruntukan sebanyak RM4.47 bilion hanyalah 6.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan negara di bawah Rancangan Pelancaran Pertama RMK-12 dan jelas tidak menggambarkan keperluan Sarawak memandangkan ukuran dan tahap pembangunan, serta statusnya sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-Undang Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak) Datuk Hanifah Taib mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Jumaat. 

Tambah Abang Johari, ketika perbincangan mengenai peruntukan negara, beliau telah menekankan kepada kedua-dua menteri Persekutuan tersebut bahawa hasil perkongsian yang dibahagikan perlu mengambil faktor status Sarawak sebagai rakan setara.

Faktor lain katanya, termasuklah sumbangan negeri kepada wang Persekutuan termasuk pendapatan yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan melalui sumber semula jadi Sarawak dan hasil yang diterima daripada cukai yang berasal dari negeri ini.

Terdahulu pada ucapan sempena Hari Malaysia di Sabah, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan peruntukan RMK-12 yang mana negeri-negeri Borneo menerima peruntukan antara yang tertinggi dalam senarai agihan setiap negeri.

Ismail Sabri memaklumkan Sabah menerima peruntukan RM4.66 bilion, sementara Sarawak pula RM4.47 bilion berperanan untuk meningkatkan pembangunan dan memacu ekonomi wilayah tersebut.