Sarawak unjur pelaburan AS$7 bilion melalui kerjasama dengan China - Abang Johari

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata minat syarikat-syarikat berkenaan mencerminkan keyakinan terhadap potensi KLCH sebagai hab perindustrian rendah karbon yang bertaraf global. - Gambar fail/BERNAMA
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi hijau di rantau ini dengan unjuran potensi pelaburan AS$7 bilion dalam tempoh 10 tahun hasil kerjasama strategik dengan pemain industri antarabangsa.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata unjuran itu dipacu melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), China Jiangsu International Economic Technology Cooperation Group Ltd. (CJI) dan tujuh syarikat utama dari China yang menyatakan komitmen terhadap pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH).
Abang Johari berkata minat syarikat-syarikat berkenaan mencerminkan keyakinan terhadap potensi KLCH sebagai hab perindustrian rendah karbon yang bertaraf global.
"Pelaburan sebesar ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu, khususnya pekerjaan berkemahiran tinggi, selaras dengan usaha meningkatkan pendapatan isi rumah," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.
Majlis menandatangani MoU berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat CJI di Nanjing, China hari ini, yang mana Abang Johari turut menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Rangka Kerja antara PETROS dan CJI sebelum pemeteraian tujuh MoU berkenaan.
Premier Sarawak berkata suntikan pelaburan berskala besar itu akan meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak, dengan sasaran mencapai RM282 bilion menjelang 2030.
"Dengan pelaburan ini, ditambah pelaburan lain yang sedang dan bakal memasuki Sarawak, saya yakin kita boleh mencapai sasaran itu," katanya.
Menurut UKAS, kerjasama PETROS dan CJI ini merangkumi pembangunan modal insan melalui pemindahan pengetahuan, latihan teknikal dan pembangunan bakat tempatan menerusi program latihan industri serta kerjasama pendidikan.
"Mungkin pada tahun ketiga pengajian, mereka (pelajar teknikal Sarawak) boleh dihantar ke sini (Nanjing) sebagai pelatih industri. Apabila industri ini beroperasi di Sarawak kelak, mereka akan menyerap pelajar ini sebagai tenaga kerja teknikal. Ini membawa banyak manfaat kepada Sarawak," tambahnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


