Skip to main content

Malaysia

Projek Wi-Fi IPTA capai 76 peratus, 408 lokasi seluruh negara siap - Teo

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching melihat ujian perkhidmatan Wi-Fi semasa melakukan lawatan kerja Projek Liputan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan hari ini. - fotoBERNAMA
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching melihat ujian perkhidmatan Wi-Fi semasa melakukan lawatan kerja Projek Liputan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan hari ini. - fotoBERNAMA

Advertisement

NIBONG TEBAL: Sebanyak 408 daripada 538 lokasi yang dikenal pasti bagi pelaksanaan Projek Wi-Fi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah siap setakat 30 Sept lepas, mencapai 76 peratus.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pelaksanaan projek berjumlah RM634.1 juta menerusi dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu sedang diteruskan di lokasi selebihnya.

Beliau berkata sebanyak 14 lokasi IPTA fasa satu dan 177 lokasi fasa dua telah siap sepenuhnya, daripada keseluruhan 538 lokasi melibatkan IPTA serta institusi latihan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Untuk fasa 3, iaitu fasa sekarang, kita telah pilih 206 lokasi IPTA dengan 80 telah siap, manakala 106 daripada 110 lokasi MARA telah siap dengan kesemua 31 lokasi institusi latihan di bawah KESUMA juga telah siap.

“Jadi, daripada 538 lokasi keseluruhan, 408 telah pun siap, iaitu 76 peratus,” katanya pada sidang media selepas melawat Projek Liputan Wi-Fi IPTA di Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H’ng Mooi Lye, Ketua Pegawai Digital merangkap Pengarah Pusat Transformasi Digital USM Prof Dr Nor Ashidi Mat Isa dan Pengarah Kanan MCMC Wilayah Utara Izani  Othman.

Teo yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Pulau Pinang berkata projek Wi-Fi IPTA itu memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai penggunaan Internet tinggi seperti dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar dan kolej kediaman.

Beliau berkata bagi Pulau Pinang, sebanyak 32 lokasi terbabit dalam projek berkenaan dengan 24 lokasi telah siap setakat 29 Sept melibatkan anggaran kos RM61.5 juta.

Mengenai pelaksanaan di USM, Teo berkata sebanyak 822 titik akses tambahan di bawah fasa 3 telah siap dilaksanakan pada 18 Sept, melibatkan 740 titik akses di USM Kampus Nibong Tebal serta masing-masing 41 titik akses di Pusat Perubatan USM Bertam dan USM Bukit Jambul.

Beliau berkata pemasangan tersebut melengkapkan 1,103 titik akses yang telah disediakan menerusi fasa 2, menjadikan keseluruhan 1,925 titik akses beroperasi di USM setakat 30 Sept. 

“Kerja pemasangan tambahan sebanyak 4,150 titik akses di USM Kampus Induk sedang dilaksanakan dan disasarkan siap menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Teo berkata beliau turut berpuas hati selepas mendapat maklum balas menggalakkan daripada mahasiswa USM berhubung peningkatan liputan dan kelancaran Internet selepas pelaksanaan projek itu.

Projek di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) seliaan MCMC itu dilaksanakan bagi memperkukuh capaian Internet berkelajuan tinggi di kampus IPTA seluruh negara.

Penyediaan kemudahan rangkaian yang lebih stabil dan menyeluruh untuk kegunaan pelajar serta warga IPTA itu sejajar dengan usaha Kerajaan MADANI ke arah memperluas capaian digital kepada semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement