KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada dagangan Isnin, menjejaki prestasi semalaman Wall Street ketika sentimen berhati-hati menguasai pasaran menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka (FOC) bank pusat Amerika Syarikat minggu ini, kata penganalisis.

Mesyuarat FOMC di bawah Rizab Persekutuan AS akan diadakan pada 19-20 Mac, 2024.

Pada 9.15 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.02 mata kepada 1,547.81 daripada 1,552.83 pada akhir dagangan Jumaat lepas.

Indeks penanda aras berkenaan dibuka turun 5.38 mata kepada 1,547.45.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 257 berbanding 209 manakala 325 kaunter lain tidak berubah, 1,516 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 429.73 juta unit bernilai RM166.50 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata peniaga akan turut memantau pengumuman data-data akan datang seperti tuntutan pengangguran AS dan indeks pengurus pembelian pembuatan dan perkhidmatan (PMI).

"Biarpun nada dagangan di AS adalah lebih perlahan, kami menjangkakan momentum positif akan berterusan di peringkat tempatan, berikutan pemulihan positif dalam pasaran serantau sejak kebelakangan ini.

"Indeks FBM KLCI misalnya ditutup pada paras tinggi yang ketara pada Jumaat lepas, diterajui oleh kenaikan kebanyakan saham-saham wajaran tinggi biarpun terdapat prestasi negatif saham-saham di pasaran serantau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas pasaran komoditi, firma pembrokeran itu berkata minyak mentah Brent didagangkan lebih mengukuh pada minggu lepas apabila melepasi paras US$85 setong, didorong oleh permintaan AS yang lebih tinggi daripada dijangkakan.

"Susulan trend komoditi minyak mentah dan minyak sawit yang positif baru-baru ini, kami menjangkakan peniaga akan memberi tumpuan kepada sektor minyak dan gas serta perladangan pada minggu akan datang," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank kekal pada RM9.71, Public Bank naik dua sen kepada RM4.29, CIMB dan Petronas Chemicals masing-masing susut dua sen kepada RM6.59 dan RM6.88 manakala TNB turun enam sen kepada RM11.54.

Bagi saham aktif seperti Hong Seng Consolidated, Sapura Energy, PDZ dan Techbase Industries masing-masing tidak berubah pada 1.5 sen, 4.5 sen, empat sen dan 25 sen manakala Pan Malaysia susut 1.5 sen kepada 17 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 31.33 mata kepada 11,512.26; Indeks FBMT 100 susut 34.55 mata kepada 11,170.75 dan Indeks FBM ACE berkurangan 1.66 mata kepada 4,707.40.

Indeks FBM Emas Shariah pula berkurangan 52.73 mata kepada 11,538.87 dan Indeks FBM 70 rendah 41.32 mata kepada 15,623.32.

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 0.87 mata kepada 17,277.50 dan Indeks Tenaga naik 1.70 mata kepada 917.70.

Indeks Perladangan merosot 7.09 mata kepada 7,285.26 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.37 mata kepada 176.52.

-- BERNAMA