KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lemah.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.16 mata kepada 1,421.34 daripada 1,423.5 pada penutup Selasa. Indeks barometer dibuka pada paras 1,422.01, susut 1.49 mata.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 135 berbalas 98, manakala 199 kaunter tidak berubah, 1,824 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 104.99 juta unit bernilai RM43.32 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pasaran saham Amerika Syarikat (AS) lebih lemah apabila pelabur masih menantikan berita mengenai rundingan siling hutang antara pemimpin kongres dan Presiden AS Joe Biden, dengan Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen mengulangi bahawa jika siling hutang tidak dinaikkan, negara itu mungkin berisiko mungkir terhadap obligasi hutangnya seawal 1 Jun.

Firma broker itu menambah memandangkan ketidaktentuan di AS, ia percaya tekanan jualan mungkin melimpah ke pasaran tempatan, sekali gus mengehadkan potensi peningkatan pada FBM KLCI.

"Kami berpendapat peniaga mungkin menumpukan pada saham defensif dalam sektor telekomunikasi, utiliti dan pengguna.

"Sementara itu, kami berpihak kepada saham berkaitan pelancongan dan penjagaan kesihatan berikutan pembukaan semula sempadan China," katanya dalam nota hari ini.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng pula menyatakan sentimen keseluruhan kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan di AS.

"Untuk hari ini, kami mengunjurkan indeks berlegar dalam julat 1,415-1,425," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals susut dua sen setiap satu kepada RM8.71 dan RM7.05, Tenaga turun lapan sen menjadi RM9.65 manakala Public Bank dan CIMB tidak berubah, masing-masing pada RM3.95 dan RM4.99 .

Bagi saham aktif, Classita, Vinvest dan ATA IMS meningkat setengah sen setiap satu kepada 15.5 sen, sembilan sen dan 28.5 sen, YTL Corporation menambah satu sen kepada 67.5 sen manakala Silver Ridge turun setengah sen kepada 43.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 10.03 mata kepada 10,409.35, Indeks FBMT 100 susut 14.17 mata kepada 10,101.32, Indeks FBM Emas Syariah turun 16.74 mata kepada 10,762.64 dan Indeks FBM 70 kerugian 13.89 mata kepada 13,479.45.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE memperoleh 10.93 mata kepada 5,011.5.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.24 mata kepada 166.98 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 8.65 mata kepada 15,539.79, manakala Indeks Tenaga susut 0.22 mata menjadi 833.72 dan Indeks Perladangan turun 14.94 mata kepada 6,918.78.

-- BERNAMA