KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd menjangka isu kekurangan pekerja dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan akan datang, selain membawa masuk lebih ramai pekerja untuk meningkatkan kemajuannya menjelang akhir suku keempat tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azmir Merican berkata, pemaju hartanah itu masih menghadapi 50 peratus kekurangan pekerja di tapak pada masa ini berbanding kekurangan sebanyak 60 peratus pada separuh pertama 2022.

"Pada masa ini, kami menyaksikan sebanyak 20 hingga 30 peratus kelewatan dalam projek kami tetapi kami berjaya menyerahkan lima daripada projek kami tepat pada masanya pada separuh pertama 2022," katanya dalam taklimat media secara maya mengenai keputusan kewangan separuh pertama 2022 syarikat berakhir 30 Jun 2022 hari ini.

Beliau turut optimis mengenai keupayaan Sime Darby Property dalam melaksanakan tujuh lagi projek pada akhir tahun ini.

"Ini adalah sesuatu yang kami akan bekerjasama rapat dengan subkontraktor kami berikutan kami tidak boleh melakukannya bersendirian. Oleh itu, kami sedang mencari jalan dan berusaha untuk mendapatkan pekerja kerana ini adalah keutamaan kami," katanya.

Beliau berkata, kumpulan bekerjasama rapat dengan subkontraktor untuk memastikan mereka mempunyai pekerja yang mencukupi untuk menyiapkan projeknya.

Secara keseluruhannya, katanya, prospek industri agak baik dalam situasi semasa berikutan pembeli akan cenderung untuk membeli hartanah daripada pemaju yang bereputasi yang boleh memberikan produk berkualiti dan menyiapkan hartanah itu tepat pada masanya.

Azmir berkata, kumpulan dijangka mencapai baki RM1.3 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) daripada jumlah sebanyak RM2.8 bilion untuk 2022.

Daripada jumlah GDV tersebut, katanya, produk bernilai RM1.5 bilion telah dilancarkan pada separuh pertama 2022, mendapat purata kadar pembelian sebanyak 94 peratus untuk hartanah kediaman tidak termasuk produk statutori setakat 7 Ogos.

Beliau berkata, jualan kediaman di Battersea Power Station dan Electric Boulevard di United Kingdom bernilai GBP184 juta pada separuh pertama 2022 manakala ruang komersial dijadualkan untuk pembukaan pada separuh kedua 2022 dengan 70 penyewa terkemuka.

Keuntungan bersih pemaju hartanah itu pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 meningkat kepada RM105.0 juta daripada RM23.21 juta pada tahun lepas, didorong oleh pelancaran produk yang kukuh sepanjang tempoh pandemik yang mencatatkan kadar pembelian yang baik.

Perolehan pada suku tahun tersebut meningkat 22.6 peratus kepada RM615.61 juta daripada RM501.97 juta sebelum ini, disokong oleh kemajuan tapak pembangunan yang kukuh di perbandaran utamanya dari Jun dan seterusnya serta jualan produk dengan margin yang lebih tinggi.

Keuntungan bersih kumpulan pada separuh pertama 2022 meningkat kepada RM156.56 juta daripada RM89.31 juta sebelum ini manakala perolehan naik kepada RM1.096 bilion daripada RM1.091 bilion pada tahun lepas. - BERNAMA