KUALA LUMPUR: Sinaran PPA Sdn Bhd dalam proses rundingan untuk memeterai kontrak pajakan solar bernilai RM300 juta dengan pelbagai pemilik bangunan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Sinaran PPA ialah syarikat usaha sama baharu antara syarikat kejuruteraan Metronic Global Bhd (Mtronic) dan Earthtech Sdn Bhd untuk mencari peluang dalam sektor tenaga solar.

Earthtech ialah ahli Kumpulan Dehui, kumpulan tenaga hijau multinasional komprehensif yang beroperasi secara global.

Mtronic dalam satu kenyataan semalam berkata perbincangan kini sedang berjalan untuk memeterai kontrak pajakan solar dengan jumlah saiz yang dicadangkan sebanyak 29,260 kilowatt puncak (kWp) untuk tempoh 25 tahun.

Awal tahun ini, syarikat itu menandatangani dua perjanjian pembelian kuasa (PPA) dengan jumlah kapasiti sebanyak 4,121 kWp pada harga RM50 juta.

PPA 25 tahun itu adalah untuk membangun dan menyelenggara, kemudahan penjanaan fotovoltaik solar (PV solar) di Kedah.

Pembinaan dan pemasangan kemudahan PV solar menurut kedua-dua PPA itu dijangka siap pada suku keempat 2022, operasi akan dimulakan selepas itu.

"Sehubungan itu, rancangan kumpulan untuk menceburi perniagaan tenaga solar adalah berdasarkan prospek yang positif bagi industri PV solar di Malaysia," kata Mtronic.

Pendapatan berulang jangka panjang yang akan dijana daripada pajakan tenaga elektrik yang dijana daripada kemudahan PV solar itu kepada pemilik tapak di bawah aktiviti pajakan solar yang akan dijalankan oleh Sinaran PPA juga dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan tersebut.

Sementara itu, Mtronic mengumumkan pada 5 Julai 2022, terbitan hak telah dilanggan sebanyak 99.88 peratus dan berjaya mengumpulkan RM77.97 juta.

Selepas selesai terbitan hak itu, Mtronic telah mengumpul dana yang diperlukan untuk Sinaran PPA untuk memulakan perniagaan solar, katanya.

Hasil tersebut akan digunakan untuk membiayai pemerolehan bahan, jentera dan pengoperasian bangunan kilang serta menyediakan Sinaran PPA untuk melaksanakan kontrak 29,260 kWp lagi, kata Mtronic.

Dana itu juga dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan Sinaran PPA pada masa hadapan serta membolehkannya mendekati lebih ramai pelanggan berpotensi untuk kontrak pajakan solar pada masa hadapan.

-- BERNAMA