Skip to main content

Malaysia

Tragedi kepala air Sungai Pertak: Pencarian diteruskan hingga Empangan Sungai Selangor - Bomba

Pencarian diperluaskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, meliputi jarak kira-kira tiga km sepanjang Sungai Luit dari lokasi kejadian. - Foto Bernama
Pencarian diperluaskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, meliputi jarak kira-kira tiga km sepanjang Sungai Luit dari lokasi kejadian. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Operasi mencari dan menyelamat tiga mangsa hilang di Lata Jebus diteruskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, meliputi jarak tiga kilometer.
  • Lima mayat telah ditemukan, termasuk seorang warga tempatan, namun identiti dan kewarganegaraan empat lagi mangsa masih belum dikenal pasti.
  • Kejadian kepala air berlaku secara tiba-tiba pada 5.30 petang, melibatkan lapan individu dari pelbagai negara yang dihanyutkan arus deras.
Advertisement

HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang hilang dalam insiden kepala air di Lata Jebus, Air Terjun Sungai Pertak di Kampung Pertak di sini, diteruskan hingga ke Empangan Sungai Selangor, kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pencarian tertumpu di sepanjang aliran Sungai Luit dari Lata Jebus menuju ke empangan berkenaan.

“Pencarian diperluaskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, meliputi jarak kira-kira tiga km sepanjang Sungai Luit dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Advertisement

Beliau berkata mangsa pertama V. Vijayan, 36, ditemukan pada 1.30 pagi tadi di kawasan Jambatan Pertak kira-kira 2.7 km dari lokasi dia dihanyutkan arus dan telah dibawa keluar.

Empat lagi mangsa ditemukan kira-kira 10.12 pagi ini di sekitar kawasan jambatan Senget dan Jambatan Gantung iaitu kira-kira satu km dari Lata Jebus, namun identiti serta kewarganegaraan mereka belum dikenal pasti.

Advertisement

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, lapan individu masing-masing seorang warga tempatan, Yaman, Sri Lanka, Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati sebuah lori polis yang membawa empat mayat mangsa kejadian meninggalkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) kira-kira 12 tengah hari tadi.

Kesemua mayat difahamkan dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.

Sementara itu, ahli keluarga Vijayan, B. Partiban, 27, berkata mangsa pergi ke kawasan air terjun itu bersama rakan-rakannya yang merupakan warga asing, manakala dia yang turut ke sana tiba lewat berbanding Vijayan.

“Kejadian kepala air berlaku secara tiba-tiba dengan membawa kayu balak dan batu besar kira-kira 5.30 petang. Arus kuat dan tinggi dan pada waktu itu kami hanya mampu berdiri dan melihat arus mengalir deras,” katanya.

Partiban berkata beliau bersama tiga rakannya sempat menyelamatkan diri selepas keluar lebih awal dari kawasan sungai sebelum paras air meningkat mendadak, namun tidak menyedari Vijayan dihanyutkan arus.

Sementara itu, seorang pelajar warga Yaman, Muhammad, 19, yang terselamat dalam kejadian itu berkata dia ke sungai itu bersama lima rakan dan cuaca dalam keadaan baik serta tiada tanda awal berlakunya kepala air, sebelum tiga daripada mereka ke tebing sungai dan dihanyutkan arus mengakibatkan seorang masih hilang dan belum diketahui statusnya.

Dalam perkembangan terkini, Pengarah JBPM Selangor Datuk Wan Md Razali Wan Ismail menerusi kenyataan berkata selain Vijayan, identiti dua lagi individu daripada empat mangsa yang ditemui telah dikenal pasti.

Beliau berkata mereka ialah Kapali, 49, yang merupakan warga Nepal dan B. Kunjunmaiayil, 35, warga India.

Wan Md Razali berkata operasi hari ini membabitkan 45 anggota JBPM, 25 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), tiga anggota polis dan lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali.

Selain itu, turut terlibat tiga anggota Pejabat Tanah Hulu Selangor, tiga anggota Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan dua malim gunung.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement