Singapura komited perkukuh kerjasama ekonomi dengan Malaysia melalui JS-SEZ

Dr Vivian menekankan bahawa projek ini memberi peluang kepada kedua-dua negara menghadapi cabaran global dan mengambil peluang daripada perubahan landskap ekonomi dunia. - Foto Kementerian Luar Singapura
SINGAPURA: Singapura menegaskan komitmennya untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan Malaysia, khususnya menerusi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ) yang dijangka mampu menarik pelaburan bernilai berbilion dolar.
Ringkasan AI
- Singapura komited memperkukuh hubungan ekonomi dengan Malaysia melalui Zon Ekonomi Khas JohorSingapura (JSSEZ) bagi menarik pelaburan bernilai berbilion dolar, menjana pekerjaan, memperkukuh infrastruktur, dan merangsang pertumbuhan PKS di kedua-dua negara.
- Menteri Luar Singapura menyatakan JSSEZ penting untuk memperluas kerjasama pelaburan antara Singapura dan Malaysia, dengan potensi mencipta pekerjaan, mempercepat pembangunan infrastruktur, serta membuka pelbagai peluang ekonomi, menjadikan manfaat bersama sebagai fokus utama.
- Kerjasama ekonomi ini dilihat sebagai strategi bersama untuk menghadapi cabaran global dan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi dunia, dengan penekanan pada keutamaan rakyat seperti pekerjaan, pendapatan stabil, peluang pendidikan, dan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
“JS–SEZ merupakan projek paling ketara ketika ini. Ia berpotensi menarik pelaburan besar, mencipta lebih banyak pekerjaan, mempercepat pembangunan infrastruktur dan membuka pelbagai peluang ekonomi.
"Ini bukan permainan sifar, sebaliknya manfaat bersama,” katanya dalam sesi dialog bersama peserta Malaysian Journalist Visit Programme (MJVP) anjuran Kementerian Komunikasi dan Pembangunan Digital Singapura (MDDI) baru-baru ini.
Harapan Johor dan Tumpuan kepada Pelaksanaan
Mengulas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang sebelum ini menyuarakan harapan agar Johor menerima lebih banyak manfaat daripada kerjasama ini, Dr Vivian mengakui bahawa rakyat Johor mahukan pelaksanaan segera JS–SEZ serta penyempurnaan projek Rapid Transit System (RTS) mengikut jadual.
“Kami, kerajaan Singapura dan Johor, akan bertemu awal Disember ini. Masih banyak kerja rumah yang perlu diselesaikan.
“Rakyat Johor mahu JS–SEZ dimulakan segera dan RTS disiapkan tepat pada masanya agar pengalaman merentasi sempadan dapat diperbaik,” katanya.
Peluang Bersama Hadapi Cabaran Global
Dr Vivian turut menekankan bahawa kerjasama ekonomi ini penting bukan sahaja dari sudut pelaburan, tetapi juga sebagai strategi bersama untuk menghadapi cabaran global dan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi dunia.
“Jika ahli politik benar-benar memberi tumpuan kepada realiti kehidupan rakyat, mereka akan sedar bahawa keutamaan rakyat ialah pekerjaan, pendapatan yang stabil, peluang pendidikan dan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
“Kita perlu bekerjasama dalam perkara-perkara ini, dan pada masa yang sama, menangani isu-isu yang boleh memecahbelahkan atau menjejaskan hubungan dua hala. Saya kekal optimis dan percaya pada potensi kerjasama ini,” tambah beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


