KUALA LUMPUR: Filem The Fox King (Semusim Lara) dipilih sebagai penyertaan rasmi Malaysia untuk dipertimbangkan dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa pada Anugerah Akademi ke-99 di Dolby Theatre, Hollywood, Amerika Syarikat pada 14 Mac tahun depan.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan pemilihan filem yang ditulis dan diarahkan oleh Woo Ming Jin itu dibuat Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas dengan mengambil kira syarat kelayakan ditetapkan Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS).
“The Fox King mengisahkan dua beradik kembar, Ali dan Amir yang membesar tanpa ibu mereka. Kehadiran Lara, seorang guru Bahasa Inggeris baharu, membawa perubahan kepada kehidupan dan hubungan kedua-duanya,” menurut Finas dalam kenyataan hari ini.
Filem terbitan bersama syarikat dari Malaysia dan Indonesia itu menampilkan Idan Aedan, Hadi Putra serta Dian Sastrowardoyo sebagai pelakon utama.
Filem berkenaan turut menerima sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi melalui FINAS.
The Fox King telah mengadakan tayangan perdana dunia dalam program Centrepiece di Toronto International Film Festival (TIFF) pada 9 Sept 2025.
Filem itu kemudiannya menyertai beberapa festival filem antarabangsa hingga 1 Mei 2026, termasuk Busan International Film Festival, Jakarta Film Week, Taipei Golden Horse Film Festival, Singapore International Film Festival, Beijing International Film Festival, Far East Film Festival di Udine serta San Francisco International Film Festival.
The Fox King mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 17 Sept 2026.
“Kementerian Komunikasi dan Finas merakamkan tahniah kepada Woo Ming Jin serta seluruh barisan pelakon dan tenaga produksi atas pemilihan ini,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA