KUALA LUMPUR:SME Bank  menawarkan lanjutan moratorium dan bantuan bersasar kepada hampir semua pelanggannya yang layak menerusi Program Kemudahan PKS (SRP), kata bank itu dalam satu kenyataan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program SRP ini melibatkan 3,090 pelanggan dengan jumlah pembiayaan melebihi RM4.8bilion.

“Inisiatif SME Bank yang menyasarkan pelanggan-pelanggan di dalam lima sektor PKS dan yang bersaiz mikro dan kecil adalah seiring dengan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi seperti yang diumumkan oleh MEDAC.

“Lima sektor PKS yang disasarkan dalam program SRP ini ialah pelancongan, pendidikan, pengangkutan awam, kesihatan dan stesen minyak. Dengan adanya bantuan-bantuan seperti SRP ini, kita dapat mencapai kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan dalam tempoh segera serta memastikan PKS kekal berdaya saing dan mampan setelah dilanda krisis COVID-19,” tambahnya.

Sementara itu  Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, SME Bank merangka Program SRP dengan mengambil kira keperluan dan keteguhan aliran tunai perniagaan setiap pelanggan.

“Program SRP ini secara amnya menawarkan lanjutan tempoh pembiayaan sedia ada selama 12 bulan. Dari jumlah keseluruhan pelanggan yang layak, 66 peratus menerima pakej lanjutan moratorium sehingga 12 bulan dan 15 peratus menerima pakej bayaran kadar keuntungan selama enam bulan.

“Pelanggan yang selebihnya akan menikmati penjadualan semula pembiayaan mereka,” kata Aria dalam kenyataan.