SME Bank akan menerbitkan SUKSES, program bisnes yang akan mengetengahkan perkembangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

SUKSES ialah inisiatif terbaharu SME Bank untuk mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh usahawan-usahawan PKS dalam usaha mencapai sasaran sumbangan sebanyak 41 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2020.

Ketua Pegawai Operasi, Operasi dan Pengurusan Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Razman Mohd Noor berkata, selain aspek perniagaan dan kisah usahawan dalam menguruskan operasi syarikat, program ini juga akan membawakan berita terkini dalam industri PKS.

“SUKSES akan menjadi platform kepada usahawan-usahawan PKS dalam memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada masyarakat selain boleh dijadikan kit panduan berguna kepada bakal-bakal usahawan.

“Dalam masa yang sama, slot temu bual bersama wakil SME Bank yang akan berkongsi tentang kemudahan pembiayaan, khidmat nasihat dan bimbingan serta aktiviti-aktiviti SME Bank juga akan turut dimuatkan,” katanya.

Penerbitan program TV SUKSES yang merupakan penerbitan program TV yang ketiga diterbitkan oleh SME Bank adalah usaha yang dilaksanakan dalam menyokong hasrat Kerajaan bagi memperkasakan ekonomi negara dengan memperhebatkan lagi aktiviti pembangunan usahawan dan perniagaan di kalangan usahawan-usahawan PKS.

Bersiaran selama 44 episod, SUKSES akan mula ditayangkan mulai 29 September, 2017 sehingga Ogos 2018 akan menemui penonton setiap hari Jumaat, jam 8.30 malam di Astro AWANI (Saluran 501).

SUKSES juga akan menggunakan platform media sosial untuk tontonan secara digital, di mana ia boleh ditonton di laman web Astro AWANI yang mempunyai 12 juta pengunjung, di aplikasi mudah alih yang mempunyai 3.7 juta “screen viewers” dan di media sosial (FB, Twitter, Instagram, YouTube) yang mempunyai lebih 4.2 juta pengikut.

SUKSES juga boleh ditonton di laman web SME Bank www.smebank.com.my.