MALAYSIA
Kenaikan harga BTS antara punca kadar penanaman semula sawit rendah pada 2024 - Johari

Menteri Perladangan Dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika hadir pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15, Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kenaikan harga buah tandan segar (BTS) merupakan antara punca utama yang menyumbang kepada kadar penanaman semula rendah pada 2024, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ringkasan AI
- Harga BTS Tinggi Halang Penanaman Semula: Kenaikan harga buah tandan segar (BTS) mendorong syarikat dan pemilik ladang mengekalkan pokok tua demi pendapatan jangka pendek, walaupun produktiviti rendah.
- Kekangan Modal & Faktor Sosial: Penangguhan penanaman semula turut dipengaruhi oleh kekurangan modal, usia lanjut pekebun kecil, dan kurangnya minat generasi pelapis.
- Pelaburan Strategik Jangka Panjang: Menteri Perladangan dan Komoditi menyeru penanaman semula dilihat sebagai pelaburan strategik untuk menjamin hasil ladang yang mampan dan stabil.
"Hal ini kerana mereka masih memperoleh pendapatan hasil jualan BTS walaupun pengeluaran BTS di paras yang sangat rendah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika di minta oleh Jamaludin Yahya (PN-Pasri Salak) untuk menyatakan faktor utama yang menyebabkan kadar tanam semula sawit hanya mencapai 2.0 peratus pada tahun 2024, jauh lebih rendah daripada sasaran industri 4-5 peratus setahun.
Menurut Johari, harga purata minyak sawit mentah (MSM) pada 2024 telah meningkat kepada RM4,179.50 satu tan berbanding RM3,809.50 satu tan pada 2023, sekali gus mendorong kenaikan harga purata BTS kepada RM875 satu tan berbanding RM778 satu tan pada tahun sebelumnya.
"Walaupun syarikat perladangan dan pemilik ladang sawit memperoleh pendapatan hasil jualan BTS daripada pokok sawit tua dan tidak lagi produktif, produktiviti BTS secara keseluruhannya masih rendah dan ini menjejaskan pendapatan dan modal syarikat.
"Kekangan modal ini menyebabkan penangguhan penanaman semula sawit," katanya.
Sementara itu beliau berkata faktor lain yang dikenal pasti adalah kebanyakan pekebun kecil sedia ada berada pada usia lanjut, manakala minat dalam kalangan generasi pelapis untuk meneruskan usaha penanaman semula dilihat semakin berkurangan.
Selain itu, kebimbangan terhadap kehilangan sumber pendapatan sementara dalam tempoh tanaman belum berhasil turut menjadi penghalang kepada pelaksanaan penanaman semula secara menyeluruh dan mengikut sasaran.
"Meskipun harga semasa BTS menawarkan pulangan yang memberangsangkan dalam jangka pendek, potensi hasil jangka panjang akan lebih terjamin sekiranya penanaman semula dilakukan secara terancang.
"Pokok sawit tua yang kurang produktif berisiko mengehadkan keupayaan maksimum ladang, baik bagi syarikat perladangan mahupun pekebun kecil," katanya.
Justeru, beliau berkata mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan penanaman semula harus dilihat sebagai pelaburan strategik yang mampu memastikan ladang atau kebun kekal produktif, sekali gus menjamin aliran pendapatan yang lebih stabil dan mampan dalam jangka masa panjang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami