PETALING JAYA: Syarikat peringkat pertengahan (MTC) tempatan yang mengambil bahagian dalam program pembangunan syarikat-syarikat pertengahan (MTCDP) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah mencapai pertumbuhan eksport yang ketara pada 2022.

Pengerusi Matrade Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata laporan penjejakan impak MTCDP menunjukkan bahawa MTC ini telah memperoleh hasil tahunan terkumpul sebanyak RM33.90 bilion pada 2022, dengan 61 peratus atau RM20.90 bilion dijana melalui eksport.

"Daripada pencapaian ini, MTC berstatus Bumiputera telah merekodkan hasil tahunan terkumpul sebanyak RM5.52 bilion, dengan hampir 10 peratus atau RM540 juta disumbangkan oleh aktiviti eksport," katanya dalam ucapan sempena majlis pengijizahan dan agenda mula MTCDP di sini pada Selasa.

MTCDP telah diperkenalkan pada 2014 sebagai salah satu inisiatif berimpak tinggi kerajaan dalam Pelan Pembangunan Malaysia, bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan eksport MTC ke arah menjadi peneraju serantau dan global.

Reezal Merican berkata tahun ini, MTCDP akan mencapai tahun ke-10 pelaksanaannya dan buat pertama kali, kohort baharu ini bukan sahaja akan disertai oleh peserta dalam kalangan MTC, malah keutamaan juga diberikan kepada perusahaan sederhana berprestasi tinggi yang terlibat secara aktif dalam eksport.

"Ini menunjukkan bahawa Matrade komited dalam membentuk perusahaan ini bagi mengukuhkan jejak global mereka dan menjadi MTC, selain sejajar dengan agenda Malaysia Madani serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030," katanya.

Menurut kenyataan Matrade, MTCDP telah memainkan peranan penting dalam memperkasa termasuk membimbing 323 MTC merentasi pelbagai sektor, menyediakan intervensi yang disesuaikan bagi meningkatkan produktiviti eksport.

"Ini ditunjukkan melalui majlis bersama yang dianjurkan hari ini, untuk meraikan pencapaian 48 MTC daripada gelombang kelapan dan kesembilan MTCDP, selain mengalu-alukan 25 MTC ke kohort baharu iaitu gelombang 10 pada 2024," katanya.

Timbalan Pengarah Unit Peringkat Pertengahan, Muhd Shahrulmiza Zakaria berkata Matrade akan terus membantu MTC untuk meningkatkan aktiviti eksport mereka melalui MTCDP.

Setelah melengkapkan program selama sembilan bulan, MTC ini akan dapat mencapai dua matlamat teras program itu iaitu untuk meningkatkan eksport mereka dan menembusi pasaran baharu, katanya kepada pemberita di luar acara semalam.

-- BERNAMA