Ringkasan AI
- Lebih 670 penerbangan Delta Air Lines mengalami kelewatan pada Ahad akibat gangguan teknikal di hab utama syarikat di Atlanta.
- Gangguan berpunca daripada masalah sistem automasi pengiraan berat dan keseimbangan pesawat, memaksa penggunaan kaedah manual sementara pemulihan dijalankan.
- Insiden ini berlaku selepas beberapa gangguan teknikal lain melibatkan syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat dalam tempoh seminggu.
NEW YORK: Lebih 670 penerbangan syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Delta Air Lines, mengalami kelewatan pada Ahad susulan gangguan teknikal yang menjejaskan sistem operasi penerbangannya di hab utama syarikat itu di Atlanta.
Menurut laporan Xinhua, setakat tengah hari waktu tempatan, sebanyak 815 kelewatan direkodkan bagi penerbangan yang tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta, dengan 672 daripadanya melibatkan penerbangan Delta Air Lines.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) pada mulanya mengarahkan pemberhentian sementara semua penerbangan Delta yang menuju ke Atlanta sebelum menggantikannya dengan program kelewatan pergerakan penerbangan.
Gangguan itu dilaporkan berpunca daripada masalah pada sistem automasi pengiraan berat dan keseimbangan pesawat yang digunakan syarikat penerbangan berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Delta memaklumkan pasukannya menggunakan kaedah manual bagi memastikan pesawat dapat berlepas dengan selamat sementara usaha memulihkan sistem automasi diteruskan.
"Pasukan Delta menggunakan prosedur alternatif secara manual pagi ini untuk memastikan penerbangan dapat berlepas dengan selamat sementara kerja pemulihan sistem automasi sedang dijalankan," menurut syarikat itu.
Insiden berkenaan berlaku hanya beberapa hari selepas FAA menguatkuasakan pemberhentian sementara penerbangan di seluruh negara pada 13 Nov lalu berikutan masalah teknikal pada rangkaian komunikasi kawalan trafik udara.
Pada 16 Nov pula, United Airlines turut berdepan gangguan teknikal berasingan yang menyebabkan kelewatan beberapa penerbangan keluar.
Gangguan berturut-turut yang menjejaskan syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai ketahanan sistem teknologi yang menyokong operasi sektor penerbangan negara berkenaan.