Skip to main content

Malaysia

AADK serius cegah pengambilan piu piu walau masih terkawal

Walaupun kes piu piu di Kedah ketika ini tidak begitu signifikan, AADK tetap memberikan perhatian terhadap perkembangan dadah baharu yang boleh mengancam golongan muda. - Foto BERNAMA
Walaupun kes piu piu di Kedah ketika ini tidak begitu signifikan, AADK tetap memberikan perhatian terhadap perkembangan dadah baharu yang boleh mengancam golongan muda. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • AADK Kedah memberi perhatian serius terhadap kemunculan dadah sintetik baharu “piu piu” yang dipercayai diambil melalui vape walaupun kes masih terkawal.
  • Penyalahgunaan “piu piu” boleh menyebabkan kesan mental serius, termasuk halusinasi, gangguan mental, sawan, komplikasi jantung dan pernafasan yang mengancam nyawa.
  • Statistik Januari-Jun 2026 menunjukkan peningkatan tangkapan dadah sebanyak 79.4 peratus, dengan ketamin mencatatkan jumlah kes tertinggi di Kedah.
Advertisement

ALOR SETAR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah memandang serius kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai “piu piu” yang dipercayai menggunakan vape sebagai medium pengambilan, meskipun kes membabitkan bahan itu di negeri ini masih terkawal dan terpencil.

Pengarah AADK Kedah Md Razif Wan berkata bahan terlarang itu membimbangkan kerana berpotensi memberikan kesan terhadap kesihatan mental pengguna, justeru mereka yang terlibat dinasihatkan supaya segera menghentikan pengambilannya.

"Nasihat saya kepada mereka yang menyalahgunakan piu piu, sama ada sedar atau tidak sedar, sila berhenti kerana bahan ini boleh menyebabkan masalah mental," katanya kepada pemberita pada Program Apresiasi AADK Kedah di sini, petang semalam.

Advertisement

 Terdahulu, beliau turut menyampaikan anugerah dan penghargaan kepada pegawai serta anggota AADK Kedah selain penghargaan kepada empat wartawan di negeri ini.

Beliau berkata AADK Kedah akan terus mempergiat kempen dan penerangan di sekolah bagi meningkatkan kesedaran, serta memberikan pendidikan kepada pelajar mengenai keburukan penyalahgunaan dadah sintetik baharu itu.

Advertisement

Md Razif berkata walaupun kes piu piu di Kedah ketika ini tidak begitu signifikan, AADK tetap memberikan perhatian terhadap perkembangan dadah baharu yang boleh mengancam golongan muda.

Antara kesan penyalahgunaan dadah sintetik jenis piu piu ialah khayal melampau, halusinasi, gangguan mental, hilang kawalan diri serta risiko mengalami sawan, komplikasi jantung dan pernafasan yang boleh mengancam nyawa.

Sementara itu, beliau berkata peningkatan kes penyalahgunaan dadah turut dikesan dalam kalangan individu berusia 19 hingga 45 tahun.

Statistik AADK bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 merekodkan peningkatan jumlah tangkapan sebanyak 79.4 peratus kepada 235 orang berbanding 131 orang dalam tempoh sama tahun lepas, walaupun jumlah operasi menurun daripada 31 kepada 22 operasi.

Tangkapan berkaitan dadah jenis ketamin mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 114 kes berbanding 38 kes pada 2025, diikuti methamphetamine (45 berbanding 10) dan MDMA (40 berbanding tujuh).

“Dari segi saringan air kencing, sebanyak 235 daripada 438 individu yang disaring pada tahun ini didapati positif berbanding 131 daripada 317 individu pada tahun lepas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement