KUALA LUMPUR: Tarif terbaharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dijangka hanya memberi kesan minimum kepada eksport minyak sawit Malaysia, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad.
Beliau berkata AS bukan pasaran utama minyak sawit Malaysia dengan eksport ke negara itu hanya menyumbang 1.1 peratus berbanding pasaran utama seperti India, Kenya dan China.
Advertisement
“Dari segi impak, kesannya masih lagi terkawal dan penggunaan minyak sawit di AS ini bergantung kepada (keperluan) industri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Michael Mujah Lihan yang ingin tahu kesan langsung tarif terbaharu AS terhadap getah dan minyak sawit Malaysia.
Noraini berkata permintaan daripada industri di AS, khususnya dalam sektor bakeri dan kosmetik yang memerlukan minyak sawit kekal stabil.
Bagi getah, beliau berkata kesan sebenar akan bergantung kepada kadar akhir tarif yang dilaksanakan serta skop produk yang terlibat.
“Sebagai satu langkah mitigasi, kerajaan mempergiatkan usaha mempelbagaikan pasaran eksport ke rantau lain dan cuba mengurangkan kebergantungan kepada hanya satu pasaran saja,” katanya.
-- BERNAMA