BUSINESS
Tarif AS: Pelbagaikan pasaran langkah sukar dan mahal - Penganalisis

Kapal kontena di pelabuhan perkapalan industri moden di Pelabuhan Los Angeles, bersebelahan dengan deretan kren gantri, dikelilingi oleh kapal-kapal pelabuhan dan laut yang lain. - Adobe Stock/Brad Nixon
KUALA LUMPUR: Pilihan untuk mempelbagaikan pasaran bagi negara-negara yang terkesan akibat tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump merupakan suatu langkah yang sukar dan mahal.
Ringkasan AI
- Kesukaran dan Kos Tinggi: Mempelbagaikan pasaran adalah langkah yang sukar dan mahal, memerlukan pelbagai aspek perdagangan dan diplomasi untuk diteliti dan dilaksanakan.
- Hasil Tidak Setara: Mempelbagaikan pasaran tidak menjamin hasil yang sama dengan pendapatan dari pasaran besar seperti Amerika Syarikat, dan syarikat mungkin menghadapi kos tambahan seperti pertumbuhan lembab dan kecurian industri.
- Isu Fundamental Ekonomi: Strategi ini memerlukan dasar dan sistem ekonomi domestik yang mantap. Tanpa menyelesaikan isu fundamental dalam ekonomi tempatan, usaha mempelbagaikan pasaran tidak akan berjaya.
Pengarah Negara Singapura Dezan Shira & Associates, David Stepat berkata, mempelbagaikan pasaran perdagangan tidak bermakna hasil yang bakal diraih adalah sama dengan pendapatan yang ditawarkan oleh pasaran besar seperti Amerika Syarikat.
“Syarikat akan cuba untuk memaksimumkan nilai pemegang saham. Mereka akan pergi ke (pasaran) yang didiami pelanggan mereka. Mereka akan memaksimumkan keuntungan.
“Oleh itu, mempelbagaikan pasaran akan menyebabkan syarikat menanggung kos tertentu, mungkin berikutan pertumbuhan yang lembab, kecurian berskala industri, atau perjanjian perdagangan bebas perlu dirundingkan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Tarif AS: Pelbagaikan pasaran langkah sukar dan mahal - Penganalisis
Dalam temu bual sama, Penganalisis Politik dan Ekonomi yang juga Penasihat Kanan kepada Jawatankuasa Tertinggi Persaudaraan Manusia (HCHF) Emiriah Arab Bersatu (UAE), Herizal Hazri berpandangan, strategi mempelbagaikan pasaran ini merupakan idea lama yang tidak mampu dilaksanakan, khususnya dalam pengalaman Malaysia."Hakikatnya, sekiranya kita mahu mempelbagaikan ekonomi ia perlu bersifat tindakan lanjutan daripada dasar dan sistem (ekonomi domestik) yang mantap.
“Kita tidak boleh menyatakan hasrat untuk mempelbagaikan pasaran tanpa menyelesaikan isu fundamental dalam ekonomi tempatan, kerana ia tidak akan berjaya,” ujarnya.
Beliau memberi contoh cadangan memperkukuh rantaian bekalan makanan yang dikemukakan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) kepada kerajaan UAE dan Malaysia.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan selepas COVID-19 melanda dunia dengan melihat kepada kepentingan rantaian bekalan makanan ketika pandemik.
Namun, Herizal berkata cadangan itu hanya bertepuk sebelah tangan apabila hanya UAE berminat untuk melaksanakannya berbanding Malaysia, berikutan tumpuan berbeza yang diberikan oleh pembuat dasar negara ketika itu.
Justeru, cadangan berkenaan tidak dapat diteruskan memandangkan beberapa isu, infrastruktur dan dasar fundamental tidak dapat dilunaskan oleh Malaysia untuk menjayakan cadangan keselamatan makanan berkenaan.
Herizal berkata ini merupakan contoh kesukaran yang dihadapi oleh negara untuk mempelbagaikan pasaran perdagangan yang berdepan dengan isu fundamental ekonomi tempatan yang tidak mampu menyokong usaha berkenaan.
Untuk konteks, AS mengumumkan pelaksanaan tarif import kepada hampir semua negara dengan kadar asas 10 peratus, namun ia ditangguhkan untuk 90 hari bermula Rabu susulan arahan baharu Presiden Donald Trump.
Dialog Tiga Penjuru: Tariffs and tensions: Navigating the US-China trade war
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami