BUSINESS
Tarif Trump: Malaysia wajar guna kelebihan sektor penting AS

Prof Dr Ahmed Razman Abd Latif berkata sedemikian dalam satu sesi temu bual khas bersama Astro AWANI, pada Sabtu.
KUALA LUMPUR: Selain perbincangan di meja rundingan, Malaysia perlu bijak mengeksploitasi kepentingan tertentu yang dijaga Amerika Syarikat.
Pengarah Program MBA, Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abd Latif berkata, peluang itu wujud pada pasaran seperti semikonduktor, farmaseutikal dan tenaga baharu yang dikecualikan tarif timbal balik.
Ia berikutan pasaran ini memegang peranan penting dalam industri kuasa besar itu.
Jelasnya, kebanyakan syarikat berkaitan produk ini bertapak di Malaysia sekali gus memberikan kelebihan kepada negara dalam berunding dengan Washington."Bagi memastikan Amerika Syarikat terus membeli barangan daripada Malaysia, mungkin kita boleh tawarkan untuk perkasa industri yang disebutkan ini.
"Sebagai pulangan, kita harap Washington akan lebih berlembut apabila berdagang dengan kita. Sebenarnya Amerika Syarikat sedar yang mereka perlukan kita dalam ekonomi.
"Jadi ini kelebihan yang kita perlu manfaatkan sebaik mungkin," ujarnya dalam satu temu bual khas bersama Astro AWANI.
Delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan berada di Washington pada 24 April ini bagi membincangkan tarif timbal balik dengan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami