Skip to main content

Malaysia

Penduduk dinasihat tingkat kesiapsiagaan hadapi risiko banjir sepanjang monsun timur laut - MBSA

Penduduk juga dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan mengikuti arahan serta hebahan rasmi daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan.  - Foto Facebook/Geng Keselamatan Negara
Penduduk juga dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan mengikuti arahan serta hebahan rasmi daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan. - Foto Facebook/Geng Keselamatan Negara
Advertisement

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menasihatkan penduduk di seluruh kawasan pentadbirannya supaya sentiasa berwaspada dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut.

Dalam satu kenyataan hari ini, MBSA memaklumkan antara November ini hingga Januari 2027, negara dijangka menerima tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan yang boleh meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan.

Sehubungan dengan itu, MBSA menasihatkan penduduk menyediakan beg kecemasan berisi dokumen penting, ubat-ubatan, lampu suluh, makanan dan air minuman, manakala kenderaan pula dipindahkan ke kawasan lebih tinggi jika paras air menunjukkan tanda-tanda peningkatan.

Advertisement

“Penduduk juga dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti meredah air banjir atau melalui laluan yang dinaiki air kerana boleh membahayakan keselamatan diri. 

“Selain itu, penduduk perlu memastikan ahli keluarga, khususnya kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), sentiasa berada dalam keadaan selamat serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.  

Advertisement

Penduduk juga dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan mengikuti arahan serta hebahan rasmi daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan. 

“Kerjasama penduduk dalam mematuhi arahan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan tindakan keselamatan dan pemindahan dapat dilaksanakan dengan teratur sekiranya berlaku kecemasan. 

“Sekiranya berlaku kecemasan atau memerlukan bantuan, penduduk boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana MBSA (PANTAS) melalui talian 03-5510 5811,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement