Skip to main content

Malaysia

Penstrukturan Media Mulia: MMM gesa ketelusan, perlindungan hak pekerja

MMM turut mengalu-alukan komitmen Media Mulia untuk menangani kebimbangan petugas, dan menggesa pihak pengurusan menterjemahkan komitmen tersebut melalui komunikasi terbuka dengan pekerja yang terlibat dan memberikan penjelasan yang jelas serta telus. -Gambar fail
MMM turut mengalu-alukan komitmen Media Mulia untuk menangani kebimbangan petugas, dan menggesa pihak pengurusan menterjemahkan komitmen tersebut melalui komunikasi terbuka dengan pekerja yang terlibat dan memberikan penjelasan yang jelas serta telus. -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Media Malaysia (MMM) menggesa Media Mulia Sdn Bhd (Media Mulia) memastikan hak, ketelusan, serta kebajikan pekerjanya terus dilindungi susulan langkah penstrukturan semula membabitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Menurut kenyataan MMM hari ini, beberapa pekerja telah menghubungi majlis berkenaan bagi menyuarakan kebimbangan mengenai jaminan pekerjaan serta masa depan mereka, meskipun tiada pengumuman rasmi berhubung pemberhentian dikeluarkan setakat ini.

Advertisement

“MMM menyedari organisasi media berdepan cabaran kewangan dan operasi yang besar, serta memahami langkah penstrukturan semula mungkin diperlukan bagi memastikan kelangsungan operasi mereka dalam jangka panjang.

“Walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai pemberhentian pekerja, MMM memandang serius kebimbangan yang dibangkitkan oleh petugas. Kebimbangan ini tidak boleh dipandang ringan,” menurut kenyataan itu. 

Advertisement

MMM menegaskan petugas berhak mendapat penjelasan yang jelas mengenai proses penstrukturan semula, kriteria yang digunakan dalam membuat keputusan berkaitan pekerjaan mereka serta kemungkinan kesannya terhadap masa depan mereka.

Majlis itu turut mengalu-alukan komitmen Media Mulia untuk menangani kebimbangan petugas, dan menggesa pihak pengurusan menterjemahkan komitmen tersebut melalui komunikasi terbuka dengan pekerja yang terlibat dan memberikan penjelasan yang jelas serta telus. 

“Walaupun syarikat perlu mempunyai ruang untuk membuat keputusan sukar demi memastikan kelangsungan perniagaan, keputusan sedemikian mestilah disertai dengan ketelusan, keadilan dan rundingan bermakna bersama pekerja yang terjejas.

“MMM kekal bersedia untuk memudah cara perbincangan yang membina antara pihak-pihak berkaitan bagi mencapai penyelesaian yang adil dan mampan,” katanya. 

Dalam pada itu, majlis turut mengalu-alukan kesediaan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil    untuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan bagi meneliti situasi berkenaan, serta mencari jalan untuk menangani kebimbangan berhubung jaminan pekerjaan.

Media Mulia sebelum ini dilaporkan sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat termasuk pelaksanaan Program Cuti Berbayar ke atas hampir 100 pekerjanya.

Syarikat penerbitan itu menjelaskan langkah rasionalisasi berkenaan perlu diambil bagi memastikan kelangsungan operasinya dalam menghadapi perubahan industri media khususnya peralihan ke platform digital.

-- BERNAMA

 

TAG: Majlis Media Malaysia, Fahmi Fadzil, Utusan, Kosmo, Media Mulia

Must Watch Video

Advertisement