Skip to main content

Malaysia

Masjid At-Taufiqiah berdepan banjir hampir setiap tahun sejak 2021

Jurucakap Masjid At-Taufiqiah berkata, penyelesaian jangka panjang amat diperlukan bagi memastikan masalah banjir berulang tidak terus membelenggu masjid dan menjejaskan aktiviti komuniti setempat. - Foto Threads nurulghazalli
Jurucakap Masjid At-Taufiqiah berkata, penyelesaian jangka panjang amat diperlukan bagi memastikan masalah banjir berulang tidak terus membelenggu masjid dan menjejaskan aktiviti komuniti setempat. - Foto Threads nurulghazalli
Advertisement

KUALA SELANGOR: Masjid At-Taufiqiah di Bandar Seri Coalfields di sini sekali lagi dinaiki air sejak awal pagi tadi, sekali gus mengulangi masalah banjir yang dilaporkan berlaku hampir setiap tahun sejak 2021 ketika musim hujan.

Menurut pihak pengurusan masjid, kejadian banjir paling buruk direkodkan pada 2021, namun insiden sama terus berulang pada tahun-tahun berikutnya setiap kali hujan lebat melanda kawasan berkenaan.

Jurucakap masjid berkata keadaan itu bukan sahaja menjejaskan keselesaan jemaah, malah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan serta penyelenggaraan kemudahan masjid yang digunakan oleh komuniti setempat.

Advertisement

Sehubungan itu, katanya pihak pengurusan berharap permohonan peruntukan kewangan serta kelulusan bagi kerja-kerja penambahbaikan yang telah dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab dapat disegerakan memandangkan proses berkenaan masih belum dimuktamadkan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan masalah yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Advertisement

Malah, pihak pengurusan berharap segala usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan sebelum ketibaan Ramadan bagi memberikan keselesaan yang lebih baik kepada para jemaah.

 

 

 

Dalam masa sama, mereka turut mengalu-alukan kehadiran pihak media untuk meninjau sendiri keadaan masjid berkenaan serta mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai cabaran yang dihadapi setiap kali banjir berlaku.

Menurut jurucakap itu, Masjid At-Taufiqiah telah lama menjadi pusat ibadah dan aktiviti masyarakat setempat, justeru sewajarnya diberikan perhatian yang lebih menyeluruh selaras dengan pembangunan pesat yang berlaku di kawasan Bandar Seri Coalfields.

Beliau berkata, penyelesaian jangka panjang amat diperlukan bagi memastikan masalah banjir berulang tidak terus membelenggu masjid dan menjejaskan aktiviti komuniti setempat.

Justeru, pihak pengurusan berharap isu berkenaan dapat diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkaitan agar langkah penyelesaian yang lebih menyeluruh dan mampan dapat dilaksanakan demi kepentingan penduduk setempat.
 

Must Watch Video

Advertisement