KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) hari ini bersetuju satu kaedah dan proses permohonan ekspatriat yang lebih pendek dan baik akan diumumkan kerajaan.

Menurut Pengerusi Pemudah yang juga Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, pengumumkan itu akan dibuat dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

"Tiga bulan itu memberi ruang masa kepada semua agensi terlibat untuk lakukan harmonisasi (penyelarasan), memastikan kita memendek dan memudahkan proses permohonan permit ekspatriat ini.

"Ia juga mematuhi semua kehendak undang-undang dan dasar negara," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pemudah di Dewan Rakyat pada Selasa.

Tambah Rafizi, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pihak industri dan pelabur mengenai tempoh permohonan permit ekspatriat yang terlalu lama memberi kesan kepada ekonomi negara.

Pada masa sama jelas Rafizi, Pemudah turut bersetuju menambah skala pengajian Akademi dalam Industri ke peringkat nasional.

Ia bertujuan memenuhi permintaan pihak industri berkenaan tenaga kerja terlatih di samping memberi ruang kepada lepasan graduan atau sekolah untuk mendapatkan kemahiran yang diperlukan.

"Kita bersetuju supaya langkah-langkah dan program untuk menambah skala ke peringkat nasional, program Academy in Industry kemudian kita akan tambah skala ini.

"Ini akan dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang untuk kita mula padankan pekerja dan lepasan sekolah kepada kekosongan yang ada.

"Bukan sahaja memenuhi permintaan industri tapi mewujudkan peluang pekerjaan," jelasnya lagi.