PEPERANGAN moden hari ini tidak lagi berpaksi di darat, laut, dan udara semata-mata. Ruang siber kini telah terbuka luas sebagai medan tempur kelima yang tidak kelihatan tetapi jauh lebih memusnahkan.
Sistem komunikasi, penderia (sensor) pintar, rantaian logistik, dan rangkaian maklumat yang menjadi nadi kepada operasi ketenteraan kini terdedah sepenuhnya kepada pelumpuhan digital musuh.
Menyedari realiti ancaman baharu ini, langkah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membangunkan Angkatan Siber sebagai cabang perkhidmatan keempat bukan lagi sekadar satu kehendak, tetapi keperluan kelangsungan (survival) demi mempertahankan kedaulatan negara.
Langkah ke arah itu mula digerakkan secara rasmi pada 19 September 2026, apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melancarkan Tim Nukleus Angkatan Siber bersempena Hari ATM ke-93 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut. Tim ini memikul tugas berat merangka asas struktur, proses, dan integrasi bagi cabang baharu tersebut.
Bolehkah kita menunggu sehingga 2030?
Sasaran asal yang diletakkan adalah supaya Angkatan Siber ini beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2030. Namun, melihat kepada lonjakan dan kecanggihan ancaman siber global yang pantas berevolusi, persoalan yang timbul: Bolehkah kita menunggu empat tahun lagi?
Desakan untuk mempercepatkan penubuhan cabang ini menuntut penilaian semula yang teliti agar kadar kesiapsiagaan kita bergerak lebih pantas daripada ancaman pihak lawan.
Keperluan ini mudah difahami jika kita melihat betapa besarnya kebergantungan angkatan tentera moden terhadap sistem yang saling berhubung. Bayangkan, aset fizikal seperti kereta kebal atau kapal perang masih berfungsi, tetapi operasi lumpuh sepenuhnya kerana rangkaian komunikasi dan data sasaran digodam.
Tanpa aliran data yang tepat, rantaian arahan komander akan terputus dan kelancaran misi berisiko gagal. Justeru, pertahanan siber ATM tidak boleh sekadar terhad kepada tugas "melindungi komputer pejabat" daripada virus; ia melibatkan kelangsungan operasi di medan, keselamatan grid ketenteraan, dan daya tahan ekosistem pertahanan secara menyeluruh.
Merekrut bakat dan kedaulatan teknologi tempatan
Membina angkatan ini bagaimanapun menuntut lebih daripada sekadar pertukaran uniform. ATM memerlukan struktur rantaian arahan yang jelas, pembahagian domain yang tidak bertindih dengan tiga cabang sedia ada, prosedur keselamatan bertaraf tinggi, dan laluan kerjaya spesifik yang terjamin.
Kepakaran dalam peperangan elektronik, analisis ancaman ancaman hibrid, forensik digital, dan serangan balas siber mesti dibangunkan. Namun, merekrut bakat teknologi sahaja tidak mencukupi jika ekosistem latihan dan pengekalan pakar (retention) tidak setanding dengan ganjaran di sektor swasta.
Di sinilah kerjasama strategik antara ATM, agensi keselamatan siber awam, universiti, dan pemain industri teknologi tempatan menjadi kunci. Keupayaan teknologi mesti dibina oleh anak tempatan. Kebergantungan 100 peratus kepada penyelesaian perisian dan perkakasan luar negara akan mendedahkan kita kepada risiko "suis ditutup" atau ketiadaan sokongan teknikal sekiranya berlaku krisis geopolitik.
Bukan sekadar potong reben perasmian
Aspek kesiapsiagaan juga merangkumi keupayaan simulasi serangan dan pemulihan grid. Ancaman terhadap infrastruktur kritikal seperti tenaga dan telekomunikasi selalunya bermula sebagai isu awam tetapi berpotensi besar melumpuhkan negara.
Oleh itu, persempadanan bidang kuasa, tanggungjawab, dan prosedur tindakan antara Angkatan Siber dan agensi awam perlu ditetapkan secara jelas agar tidak wujud pertindihan mandat.
Kesimpulannya, hasrat mempercepatkan penubuhan Angkatan Siber tidak wajar dilihat dari sudut gopoh mahu memotong reben perasmian struktur baharu. Ia harus digerakkan atas dasar mempercepat pembinaan keupayaan sebenar.
Kejayaan cabang keempat ATM ini kelak tidak hanya diukur menerusi pengumuman penubuhannya, sebaliknya menerusi jumlah komando siber terlatih yang dihasilkan, kematangan prosedur, dan ketahanan sistem menangkis pencerobohan.
Hanya dengan komitmen tuntas ini, Angkatan Siber mampu berdiri teguh sebagai perisai baharu mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi dalam era digital masa depan.
* Penulis merupakan wartawan kanan di Astro AWANI yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi. Beliau aktif melaporkan isu-isu semasa, politik, dan hal ehwal serantau.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.