WASHINGTON: Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) menganugerahkan kontrak bernilai lebih US$20 bilion kepada Boeing bagi pembangunan berskala penuh pesawat pejuang F/A-XX generasi keenam, menurut Pentagon pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Kontrak yang dianugerahkan menerusi program "Next Generation Air Dominance" (NGAD) itu merangkumi beberapa pesawat ujian yang akan digunakan bagi ujian darat, penilaian kelayakan penerbangan, ujian sistem serta integrasi persenjataan.
Timbalan Setiausaha Pertahanan bagi Pemerolehan dan Sokongan Michael P. Duffey menyifatkan F/A-XX sebagai elemen penting dalam usaha ketenteraan AS untuk mengekalkan keunggulan di udara serta meningkatkan keupayaan beroperasi dalam persekitaran yang dipertikaikan.
“F/A-XX merupakan tonggak penting dalam komitmen kami untuk mengekalkan keamanan melalui kekuatan.
“F/A-XX akan menguasai ruang udara, memperluas jangkauan operasi dan memberikan kelebihan tempur kepada anggota tentera,” kata Duffey.
Beliau berkata program itu merupakan pelaburan besar dalam keupayaan tempur udara AS pada masa depan, sambil menambah bahawa Jabatan Pertahanan akan bekerjasama dengan Boeing bagi mempercepat pembangunan dan penggunaan sistem yang saling berhubung secara menyeluruh.
F/A-XX direka untuk beroperasi dari kapal pengangkut pesawat bagi meningkatkan jangkauan operasi Tentera Laut AS.
-- BERNAMA-ANADOLU