Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Kemenangan BN-PN bukti rakyat nilai prestasi kerajaan negeri - Ab Rauf

Ab Rauf (tengah) berkata kemenangan itu bukan diraih dengan mudah, sebaliknya hasil pengorbanan dan kerja keras pasukan pentadbiran negeri yang konsisten mendekati rakyat serta menyelesaikan pelbagai permasalahan mereka. -Foto Astro AWANI
Ab Rauf (tengah) berkata kemenangan itu bukan diraih dengan mudah, sebaliknya hasil pengorbanan dan kerja keras pasukan pentadbiran negeri yang konsisten mendekati rakyat serta menyelesaikan pelbagai permasalahan mereka. -Foto Astro AWANI
Advertisement

MELAKA: Kemenangan Barisan Nasional (BN) bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 membuktikan usaha serta prestasi kerajaan negeri sepanjang tempoh pentadbiran sebelum ini mendapat penilaian positif rakyat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kemenangan itu bukan diraih dengan mudah, sebaliknya hasil pengorbanan dan kerja keras pasukan pentadbiran negeri yang konsisten mendekati rakyat serta menyelesaikan pelbagai permasalahan mereka.

Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif seperti program Wakil Rakyat Untuk Rakyat, Hari Bertemu Rakyat dan Jelajah Ketua Menteri Rakyat membuktikan pendekatan kerajaan negeri yang mengutamakan kebajikan serta keperluan masyarakat.

Advertisement

Ab Rauf berkata kerajaan negeri memilih untuk terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab terhadap rakyat meskipun berdepan pelbagai cabaran dan serangan politik.

“Kita terus bekerja untuk rakyat dan tidak mempedulikan pelbagai perkara yang datang menentang kita, sama ada unsur fitnah, tohmahan ataupun hasutan,” katanya pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua.

Advertisement

Pengerusi BN Melaka itu berkata menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat, sebanyak 75 peratus daripada kira-kira 4,000 aduan yang diterima berjaya diselesaikan.

Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan usaha kerajaan negeri membantu rakyat menangani pelbagai isu yang dibangkitkan.

Ab Rauf berkata wakil rakyat berperanan sebagai penghubung di antara masyarakat dengan kerajaan bagi memastikan urusan mendapatkan bantuan dan perkhidmatan awam dapat dipermudah.

“Sebanyak 75 peratus itu hasilnya kepada rakyat, bukan kepada kita. Kita merupakan instrumen menjadi jambatan antara rakyat dengan urusan kerajaan.

“Jadi, kita nak menjadi wakil rakyat, kita kena menjadi rakyat. Rakyat tahu di mana tempat untuk mengadu dan meminta pertolongan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf menyifatkan kemenangan BN dan PN bukan kemenangan peribadi atau parti politik.

Sebaliknya, kemenangan itu mencerminkan keyakinan serta harapan rakyat untuk melihat Melaka terus maju, stabil dan makmur.

Menurut beliau, mandat yang diberikan rakyat perlu dibalas dengan kerja dan pelaksanaan tanggungjawab, bukan sekadar kata-kata.

Pada PRN Melaka ke-16, gabungan BN-PN memperoleh majoriti lebih dua pertiga selepas memenangi 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

BN memenangi 21 kerusi manakala PN memperoleh tiga kerusi.

Must Watch Video

Advertisement