JOHOR BAHRU: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) perlu mempergiat usaha memperkasa syarikat Bumiputera, khususnya di Johor, agar terus berdaya saing dan berupaya merebut peluang ekonomi hasil pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sokongan diberikan tidak seharusnya tertumpu kepada aspek pembiayaan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi bimbingan serta akses kepada peluang perniagaan berskala besar.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan usahawan Bumiputera mampu menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan dan perkhidmatan dalam ekosistem pelaburan JS-SEZ.
"Potensi di Johor ini baik dan luas. Justeru, kita meletakkan harapan kepada TERAJU untuk menggiatkan lagi usaha menyokong syarikat Bumiputera di negeri ini.
"Ini bukan hanya membabitkan soal pendanaan, tetapi juga bimbingan serta usaha membuka laluan kepada mereka untuk meningkatkan skala perniagaan dengan sasaran mencapai keupayaan menembusi pasaran saham terbuka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis TERAJU Aspirasi Business Symposium 2026, di sini, semalam.
Mengulas perkembangan JS-SEZ, Akmal berkata Malaysia dan Singapura terus memperkukuh kerjasama bagi mengoptimumkan potensi zon ekonomi berkenaan, termasuk menerusi penyediaan pelan induk yang dijadual dilancarkan pada Pemukiman Pemimpin (Leaders' Retreat).
Katanya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) di Singapura, semalam.
"Pertemuan itu turut menyentuh pembangunan kawasan perindustrian Nexus Sedenak yang berpotensi menarik pelaburan berjumlah RM12 bilion, selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, menerusi majlis berkenaan, TERAJU menyalurkan pembiayaan berjumlah RM8.56 juta kepada sembilan usahawan Bumiputera di Johor melalui dua program utama, iaitu Bumiputera Expansion and Catalyst Fund (BECF) dan Islamic Working Capital Financing Programme (i-WCPF).
Pembiayaan itu bertujuan memperkukuh keupayaan perniagaan serta membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Bumiputera untuk menyertai rantaian nilai JS-SEZ.
Simposium yang bertemakan Johor: Menerajui Transformasi, Memacu Pertumbuhan itu juga menghimpunkan usahawan, institusi kewangan, rakan industri serta agensi Persekutuan dan negeri bagi meneroka peluang perniagaan dan memperkukuh penyertaan syarikat Bumiputera dalam ekosistem JS-SEZ.