Skip to main content

Teknologi

Teradata, Dell Technologies dan NEXTDC meterai MoU percepat penggunaan AI perusahaan di Malaysia

Naib Presiden Teradata bagi Asia Pasifik dan Jepun, Josh Abbott; Pengarah Urusan Dell Technologies bagi Asia Selatan dan Pasaran Sedang Membangun, Sumash Singh; serta Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan NEXTDC bagi Asia, Luke Mackinnon, pada majlis pemeteraian MoU di pusat data NEXTDC KL1, Petaling Jaya, pada Rabu. - Gambar/ Nik Azam
Naib Presiden Teradata bagi Asia Pasifik dan Jepun, Josh Abbott; Pengarah Urusan Dell Technologies bagi Asia Selatan dan Pasaran Sedang Membangun, Sumash Singh; serta Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan NEXTDC bagi Asia, Luke Mackinnon, pada majlis pemeteraian MoU di pusat data NEXTDC KL1, Petaling Jaya, pada Rabu. - Gambar/ Nik Azam
Advertisement

PETALING JAYA: Teradata, Dell Technologies dan NEXTDC memperkukuh kerjasama strategik menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi mempercepat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan perusahaan di Malaysia.

Majlis pemeteraian MoU yang berlangsung di pusat data NEXTDC KL1 di sini pada Rabu menyaksikan gabungan kepakaran ketiga-tiga syarikat dalam pengurusan data, teknologi pengkomputeran berprestasi tinggi dan infrastruktur pusat data bagi membantu perusahaan melaksanakan penyelesaian AI dengan lebih selamat serta berkesan.

Ketiga-tiga syarikat itu menyasarkan pembangunan persekitaran AI bersepadu di pusat data KL1 milik NEXTDC bagi membantu perusahaan beralih daripada fasa projek perintis (proof-of-concept atau PoC) kepada penggunaan AI dalam operasi perniagaan sebenar.

Advertisement

Naib Presiden Teradata bagi Asia Pasifik dan Jepun, Josh Abbott berkata Malaysia merupakan antara pasaran keutamaan syarikat itu susulan perkembangan pesat ekonomi digital serta tahap kesediaan negara dalam mengguna pakai teknologi AI.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri apabila kemajuan teknologi berkenaan turut disokong oleh perhatian terhadap aspek kawal selia, keselamatan dan kedaulatan data.

Advertisement

Teradata turut meningkatkan pelaburan dan kehadirannya di Malaysia dengan memberi tumpuan awal kepada sektor perkhidmatan kewangan serta sektor awam yang memerlukan tahap keselamatan dan tadbir urus data yang tinggi.

"Kami sudah lama berada dalam pasaran ini, namun kini sedang meningkatkan pelaburan kerana percaya kami mempunyai potensi untuk membantu Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Dell Technologies bagi Asia Selatan dan Pasaran Sedang Membangun, Sumash Singh berkata cabaran utama perusahaan ketika ini bukan lagi sekadar mendapatkan akses kepada teknologi AI, sebaliknya memastikan penggunaannya mampu menghasilkan manfaat perniagaan yang lebih nyata.

Tambahnya, kajian yang dijalankan Dell Technologies mendapati infrastruktur teknologi yang tidak bersepadu masih menjadi antara kekangan kepada perusahaan untuk melaksanakan AI secara menyeluruh.

"Apa yang penting ialah menyediakan infrastruktur yang boleh dipercayai pelanggan dan dibangunkan khusus untuk melatih, memperhalusi serta menjalankan model AI," katanya.

Sehubungan itu, Dell Technologies akan menyediakan keupayaan pengkomputeran berprestasi tinggi, termasuk pelayan berasaskan unit pemprosesan grafik (GPU) dan sistem penyimpanan data bagi menyokong pembangunan serta penggunaan AI oleh perusahaan.

Pada masa sama, Teradata akan menyediakan penyelesaian pengurusan data dan AI yang merangkumi tadbir urus, analitik serta keupayaan AI berasaskan ejen (agentic AI).

Gabungan teknologi berkenaan bertujuan memudahkan perusahaan mengurus penggunaan data untuk AI, di samping mengekalkan kawalan terhadap akses maklumat, keselamatan dan pematuhan kepada keperluan kawal selia.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan NEXTDC bagi Asia, Luke Mackinnon berkata kemudahan KL1 dibangunkan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur digital, khususnya bagi menyokong sistem AI yang memerlukan kapasiti pengkomputeran tinggi.

"Semua pihak kini memikirkan di mana data dan infrastruktur mereka perlu ditempatkan di dalam negara. Itulah keperluan yang mahu dipenuhi menerusi KL1," katanya.

Luke berkata pusat data yang dilancarkan pada Mei lalu itu sedang dibangunkan secara berfasa dengan sasaran kapasiti keseluruhan 65 megawatt menjelang 2028.

Tambahnya, KL1 turut memperoleh pensijilan Tier IV daripada Uptime Institute bagi reka bentuk dan pembinaannya, manakala proses mendapatkan pensijilan bagi aspek operasi masih dijalankan.

Kerjasama ketiga-tiga syarikat itu dijangka membuka lebih banyak pilihan kepada perusahaan tempatan untuk membangunkan dan mengendalikan sistem AI dalam persekitaran yang memenuhi keperluan keselamatan, pematuhan kawal selia dan kedaulatan data negara.

Must Watch Video

Advertisement