KUALA TERENGGANU: Idea menghasilkan ruang awam yang lebih lestari membawa pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohamad Afsyam Mohamad Fouzi, CiDe, 22, menghasilkan TerraNode Lite+, sebuah bangku pintar yang menggabungkan tenaga solar, kemudahan pengecasan peranti dan fungsi ruang kerja dalam satu reka bentuk kompak.
Inovasi oleh pelajar bidang Reka Bentuk Perindustrian itu mendapat pengiktirafan menerusi Pentas Jual pada Jelajah JIWA SME Terengganu 2026 yang berlangsung di Mayang Mall, Kuala Terengganu pada 11 dan 12 September lalu.
TerraNode Lite+ direka untuk memperluas fungsi bangku di ruang awam, bukan sahaja sebagai tempat duduk, malah turut menyediakan kemudahan pengecasan peranti, kanopi teduhan serta reka bentuk ergonomik yang mengambil kira penggunaan bahan lestari.
Produk itu turut mengintegrasikan tenaga solar dan sistem bantuan suara TeraVoice yang membolehkan arahan pengguna digunakan untuk mengaktifkan fungsi tertentu seperti lampu. Reka bentuknya juga mengambil kira keperluan orang kurang upaya (OKU), termasuk kemudahan pengecasan dan audio.
TerraNode dengan anggaran kos pengeluaran di bawah RM2,000, mengetengahkan potensi penyelesaian infrastruktur pintar yang lebih mampu milik dan praktikal untuk digunakan di universiti, taman, kawasan rekreasi, lokasi pelancongan serta ruang awam lain.
Pembangunan itu turut memperlihatkan bagaimana idea yang bermula daripada keperluan sebenar komuniti boleh diterjemahkan oleh mahasiswa kepada penyelesaian yang menggabungkan elemen teknologi, kelestarian dan reka bentuk, selain mempunyai potensi untuk dikembangkan secara komersial.
Bagi Mohamad Afsyam, penglibatan dalam JIWA SME membuka ruang untuk inovasi mahasiswa diketengahkan kepada khalayak yang lebih luas, selain memberi peluang membina jaringan dan meneroka potensi kerjasama bagi pembangunan produk pada masa hadapan.
Untuk rekod, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dinobatkan sebagai juara Program National Maker-Preneur (NMP) 2025/2026 selepas menepis cabaran 19 institusi pengajian tinggi (IPT) lain menerusi inovasi Smart Eco Bench di Universiti Malaya (UM) Ogos lalu.
Jelajah JIWA SME Terengganu 2026 yang bertemakan Ekonomi Kreatif dan Kraftangan turut menyediakan pelbagai ruang untuk usahawan dan komuniti meneroka peluang, termasuk sesi perkongsian, bengkel, pameran, jualan, Pentas Jual dan CIPTA.
Program JIWA SME yang memasuki tahun ketujuh, berperanan sebagai platform yang menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan peluang, inspirasi serta komuniti, selain membuka ruang kepada penggiat perniagaan untuk mengembangkan jaringan dan mengetengahkan produk atau idea masing-masing.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program dan aktiviti JIWA SME, layari laman rasmi JIWA SME https://www.jiwasme.com.my/ .