BISNES
TikTok shop pacu pertumbuhan produk tempatan lebih 130% melalui #JomLokal

Inisiatif #JomLokal bukan semata-mata kempen jualan, sebaliknya satu usaha menyeluruh memperkasa komuniti perniagaan kecil di negara ini.
KUALA LUMPUR: TikTok Shop terus mengukuhkan peranannya sebagai platform e-dagang dipercayai di Malaysia apabila mencatat pertumbuhan jualan tahun ke tahun melebihi 130 peratus bagi produk tempatan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia.
Pencapaian itu didorong oleh sokongan berterusan di bawah inisiatif #JomLokal, yang telah menyalurkan jutaan ringgit dalam bentuk pendedahan tambahan di platform, baucar diskaun serta sokongan pemasaran sejak diperkenalkan pada 2023.
Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, berkata inisiatif #JomLokal bukan semata-mata kempen jualan, sebaliknya satu usaha menyeluruh memperkasa komuniti perniagaan kecil di negara ini.
“#JomLokal TikTok Shop bukan sekadar kempen jualan. Ia melambangkan komitmen bersama yang teguh untuk memperkasakan perniagaan kecil Malaysia serta menyerlahkan produk tempatan.“Sejak pelancarannya, kami telah menyalurkan jutaan ringgit setiap tahun dalam bentuk pendedahan tambahan di platform, baucar diskaun serta sumber pemasaran,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.
Beliau berkata, melalui ikon khas #JomLokal di halaman utama aplikasi, pengguna boleh mengenali serta membeli produk tempatan dengan lebih mudah.
Konsep ekosistem ‘Shoppertainment’ yang digerakkan TikTok Shop juga membantu peniaga berhubung secara terus dengan pembeli, daripada proses penemuan produk hingga ke pembelian.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, TikTok Shop memberi jaminan memperhebatkan lagi sokongan terhadap #JomLokal, di samping mengekalkan perlindungan Polisi Pemulangan dan Bayaran Balik Percuma untuk memberikan keyakinan serta keselamatan kepada pembeli.
Kejayaan ini turut dirasai usahawan tempatan seperti Frisha Classic Desserts and Bakery.
Pengurus bersama syarikat itu, Frisha Fazara Ishak, berkata TikTok Shop memberi impak besar kepada pertumbuhan jualan perniagaan keluarganya.
“Keluarga saya amat bersyukur kerana TikTok Shop menyokong PMKS tempatan seperti kami melalui #JomLokal. Penstriman langsung dan video beli-belah melonjakkan pertumbuhan perniagaan sehingga mencapai purata jualan lima angka konsisten setiap bulan.
"Kalau ibu bapa saya yang sudah berusia 70-an mampu melakukannya, sesiapa sahaja pun boleh,” katanya.
Dalam pada itu, TikTok Shop menyeru lebih ramai usahawan baharu, PMKS serta jenama tempatan untuk mendaftar di Pusat Penjual TikTok Shop dan memanfaatkan Akademi TikTok Shop yang menawarkan tutorial sistematik untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif #JomLokal, orang ramai boleh melayari: https://vt.tiktok.com/ZSALqUU6v/
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami