Tenaga Nasional Berhad merancang untuk memasang infrastruktur permeteran canggih (AMI) atau meter pintar bagi 8.5 juta pelanggan di negara ini menjelang 2020.

Meter pintar membolehkan pengguna mengakses maklumat mengikut masa sebenar berhubung penggunaan tenaga serta memantau corak penggunaan dan gangguan dengan lebih efisyen.

Menurut Pengurus Kanan Projek Pintar TNB, Datin Laila Sri Asih S Garieb, ketika ini TNB telah menjalankan projek rintis fasa pertama di 300, 000 unit kediaman dan komersial di Melaka dengan peruntukan dana RM9 juta ringgit oleh kerajaan negeri.

Ia bagi memahami cabaran teknologi, kawal selia dan pelanggan.


"Kita perlu mencari keseimbangan dalam projek ini kerana kita mahu pengguna mendapat manfaat sepenuhnya daripada meter pintar ini dan pada masa sama tidak terbeban," katanya.

Tambahnya, Melaka dipilih sebagai tempat menjalankan projek perintis terbabit ekoran inisiatif kerajaan negeri itu yang giat mempromosi pembangunan teknologi hijau.

Teknologi meter pintar berkenaan diimport serta dibangunkan dari Perancis dan Amerika Syarikat.

Sementara itu salah seorang peserta projek, Mohd Arif Yusa mengakui lebih mudah memantau penggunaan tenaga di kedainya di mana sahaja beliau berada.

"Saya boleh pantau penggunaan purata dalam pejabat. Saya boleh tengok kenapa berlaku peningkatan. Sebelum ini saya susah nak tahu kadar bil saya tapi dengan meter pintar saya boleh kawal melalui atas talian sahaja, " kata Mohd Arif yang ditemui sewaktu lawatan media ke Melaka anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Melaka pada Jumaat lepas.

Antara negara yang telah melaksanakan penggunaan meter pintar ini termasuk Itali dengan pemasangan 30 juta, Jepun, 12 juta, Arab Saudi, 12 juta, Sweden, 5.2 juta, Sepanyol, 3 juta dan United Kingdom, 1.35 juta.

Kajian pasaran inovasi teknologi oleh ABI Research menjangkakan 790 juta meter pintar bakal dipasang di seluruh dunia menjelang 2020.