Skip to main content

Bisnes

TNB lantik Shamsul Ahmad sebagai Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif

https://www.sinarharian.com.my/article/769671/bisnes/tnb-lantik-datuk-ir-shamsul-ahmad-sebagai-presiden-ceo-baharu-berkuat-kuasa-1-mac-2026#google_vignette
Tempoh perkhidmatan Shamsul di TNB menjangkau lebih 37 tahun, dengan memegang pelbagai jawatan penting. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) melantik Datuk Shamsul Ahmad sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 1 Mac, 2026, menggantikan Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Pelantikan itu adalah bagi tempoh setahun sehingga 28 Feb 2027, dengan pilihan lanjutan setahun lagi.

Advertisement

Tempoh perkhidmatan Shamsul di TNB menjangkau lebih 37 tahun, dengan memegang pelbagai jawatan penting, khususnya dalam perniagaan penjanaan.

"Shamsul yang kini Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pihak Berkepentingan, memainkan peranan penting dalam membentuk rangka kerja kawal selia industri bekalan elektrik Malaysia.

“Beliau menyelia keseluruhan strategi kawal selia, merangkumi aspek ekonomi dan dasar, termasuk rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), cadangan reka bentuk tarif serta perancangan sistem,” menurut TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat utiliti itu berkata Shamsul turut memainkan peranan penting dalam mengetuai penglibatan strategik bersama pihak berkepentingan di peringkat domestik dan antarabangsa, sekali gus memupuk tahap kepercayaan tinggi yang penting bagi merealisasikan visi dan aspirasi jangka panjang TNB.

Beliau kini berkhidmat sebagai Penyelaras Negara Malaysia bagi Ketua-Ketua Utiliti/Pihak Berkuasa Tenaga ASEAN dan aktif dalam platform kerjasama tenaga serantau seperti AESIEAP.

Shamsul juga menyokong inisiatif kerajaan serta penyelarasan dasar merentasi sektor tenaga melalui platform peringkat tinggi termasuk Mesyuarat Pegawai Kanan Tenaga dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video