Trafik penumpang bagi sistem lapangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada Julai meningkat 5.1 peratus kepada 10.5 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Kuantiti trafik penumpang itu juga disumbang oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul-Sabiha Gokcen (SGIA).

"Setakat ini, ia merupakan kuantiti penumpang tertinggi yang dikendalikan oleh sistem lapangan terbang itu bagi sebulan, sebahagiannya disebabkan oleh musim perayaan Hari Raya dan cuti panjang," kata MAHB dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pengendali lapangan terbang itu berkata kebanyakan lapangan terbang di rantau-rantau lain juga mencatatkan pertumbuhan positif pada Julai 2016, kecuali di Eropah dan Afrika.

Trafik domestik bagi bulan itu juga mencatatkan seramai 5.8 juta penumpang, naik 4.2 peratus tahun ke tahun dan juga merupakan trafik penumpang tertinggi dicapai bagi sebulan.

Trafik antarabangsa mencatatkan 4.7 juta penumpang, kenaikan 6.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Setakat tempoh bagi tahun ini, keseluruhan sistem MAHB mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus dengan 68 juta penumpang.

Bagi tempoh 12 bulan terakhir, keseluruhan sistem MAHB mencatatkan pertumbuhan 4.3 peratus dengan 115 juta penumpang, manakala keseluruhan pergerakan pesawat turun sebanyak 1.3 peratus dengan pergerakan antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan penurunan 0.8 peratus dan 1.6 peratus berbanding Julai 2015.

Keseluruhan pergerakan pesawat turun sebanyak 1.8 peratus dengan penurunan pergerakan antarabangsa dan domestik masing-masing sebanyak 1.1 peratus dan 2.2 peratus berbanding Julai 2015.

Bagaimanapun, keseluruhan purata faktor muatan meningkat pada Julai 2016 sebanyak 5.9 mata peratusan bagi domestik dan 7.1 mata peratusan bagi pergerakan antarabangsa berbanding bulan yang sama tahun lepas. Purata faktor muatan bagi Julai 2016 ialah 78 peratus.