KUALA LUMPUR: Moody's Analytics meningkatkan unjurannya bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.0 peratus tahun depan dengan Bajet 2022 bersifat pengembangan menyokong jangkaan positifnya terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia turut mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada 3.5 peratus pada 2021.

Ahli Ekonomi Moody's Analytics, Denise Cheok berkata perjalanan domestik dan antarabangsa yang bermula semula serta kenaikan harga komoditi akan membantu melonjakkan ekonomi ini daripada kesan pandemik.

"Semakan meningkat mungkin dilaksanakan jika sektor utama Malaysia iaitu pembuatan dan perkhidmatan terus mengatasi jangkaan pada bulan-bulan akan datang," katanya dalam analisis bertajuk 'Malaysia Unveils Largest-Ever Budget' yang dikeluarkan pada Isnin.

Pada Julai 2021, Moody's Analytics menurunkan unjurannya bagi KDNK 2022 Malaysia kepada 3.4 peratus daripada jangkaan awal pada 4.0 peratus.

Ia juga merendahkan unjuran pertumbuhan bagi tahun ini kepada 4.7 peratus daripada 5.6 peratus.

Malaysia mengumumkan bajet terbesar berjumlah RM332.1 bilion bagi 2022, melebihi peruntukan sebanyak RM322.5 bilion pada 2021.

Beliau berkata bajet itu akan menjadi dasar utama pertama bagi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diluluskan di Parlimen.

"Walaupun beliau hanya mempunyai majoriti kecil dalam Parlimen, namun bajet itu dijangka diluluskan dengan mudah. Ini susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman dengan pembangkang pada September lepas untuk memberi komitmen kepada kerjasama dwipartisan," katanya.

Bajet dengan rekod peruntukan tertinggi dalam sejarah itu juga menyasarkan nisbah hutang kepada KDNK pada 5.0 peratus hingga 6.0 peratus pada 2022, susut sedikit daripada unjuran 6.5 peratus tahun ini.

Bajet 2022 akan menumpukan usaha menyokong ekonomi Malaysia untuk bangkit daripada impak buruk pandemik, dan berada di landasan untuk dibuka semula sepenuhnya pada awal 2022.

Cheok berkata cukai pendapatan dijangka mendanai sebahagian besar perbelanjaan kerajaan.

"Kenaikan harga minyak juga akan meningkatkan perolehan syarikat minyak negara, Petronas, yang akan membantu menampung sebahagian defisit fiskal dalam bentuk dividen kepada kerajaan," katanya.

Semasa membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata defisit fiskal 2022 diunjurkan berkurangan kepada enam peratus daripada KDNK berbanding 6.5 peratus pada 2021.

Bajet 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' itu mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Sebanyak RM332.1 bilion diperuntukkan tahun depan, dengan RM233.5 bilion daripada jumlah tersebut akan disalurkan sebagai perbelanjaan mengurus manakala RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan bakinya RM23 bilion kepada Kumpulan Wang COVID-19.

-- BERNAMA