KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd melonjak kepada RM779.43 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 berbanding RM699.58 juta pada tahun kewangan 2022.

Ia meraih hasil bagi tahun dalam tinjauan berjumlah RM2.15 bilion, hasil tertingginya berikutan Westports mengendalikan 10.88 juta juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena berbanding RM2.07 bilion yang diraih pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan Westports Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata pada permulaan 2023 syarikat itu berdepan cabaran dan seterusnya meletakkan prospek tahun itu dalam keadaan berhati-hati.

"Bagaimanapun, kami mengakhiri tahun itu dengan mencipta rekod baharu, dengan kendalian kontena sebanyak 10.88 juta TEU dan sejuta TEU pada Disember 2023," katanya dalam satu kenyataan.

Ruben menyatakan bahawa tempoh konsesi Westport dilanjutkan selama 58 tahun sehingga 2082 selepas memeterai perjanjian konsesi baharu dengan pihak berkuasa baru-baru ini.

Mengenai prospeknya, Westports berkata pendedahan utama syarikat adalah kepada volum kontena di Asia.

Selain peningkatan ketara konflik melangkaui Timur Tengah dan penurunan mendadak pertumbuhan ekonomi di kebanyakan negara maju utama, syarikat itu dengan berhati-hati menjangkakan kadar pertumbuhan satu digit berbanding tahun sebelumnya.

"Landskap ekonomi pada tahun lepas berlatar belakangkan kenaikan kadar faedah. Prospek kadar yang stabil atau lebih rendah pada tahun semasa boleh memberikan beberapa penampan kepada penggunaan kontena pengguna," katanya.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Westports mengumumkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 87.2 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, untuk diagihkan pada 29 Feb 2024.

-- BERNAMA