Keuntungan sebelum cukai RHB Bank Bhd susut kepada RM644.07 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2017 daripada RM662.62 juta pada suku yang sama 2016.

Perolehan berkurangan kepada RM2.62 bilion daripada RM2.65 bilion pada tempoh yang sama, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

RHB Bank berkata, perbankan runcit syarikat sebagai penyumbang terbesar merekodkan keuntungan sebelum cukai lebih rendah apabila susut 3.2 peratus kepada RM799.5 juta pada sembilan bulan pertama berakhir 30 Sept, 2017, disebabkan pendapatan berasaskan dana bersih lebih rendah berikutan persaingan hasil semakin meningkat.

Perbankan perniagaan pula mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM277.2 juta pada sembilan bulan pertama, penurunan 15.9 peratus disebabkan peruntukan lebih tinggi untuk pinjaman dan pembiayaan serta perbelanjaan operasi yang meningkat, menurut RHB Bank.

Bank itu berkata, perbankan borong merekodkan keuntungan sebelum cukai RM1.27 bilion, peningkatan 3.8 peratus daripada tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Mengenai unjuran, RHB Bank menjangkakan ia mencatatkan prestasi lebih baik tahun ini dengan terus menumpukan bidang pertumbuhan terpilih di samping menguruskan kualiti aset secara berkesan selain meningkatkan produktiviti melalui pelbagai usaha pendigitalan.

-- BERNAMA