KUALA LUMPUR: United Overseas Bank Malaysia (UOB Malaysia) dan HSBC Malaysia semalam berjaya menetapkan harga tawaran Nota Jangka Sederhana (MTN) bagi tempoh empat tahun bernilai RM350 juta untuk Mercedes-Benz Services Malaysia Sdn Bhd (MBSM).

Terbitan MTN itu yang merupakan terbitan hutang keenam dan terbesar MBSM dalam pasaran bon ringgit akan dibayar pada Mac 2026 pada kadar kupon tetap 3.62 peratus setahun dan diberi penarafan AAA(s) oleh RAM Rating Services Berhad.

Entiti terbabit dalam satu kenyataan bersama berkata terbitan itu mendapat sambutan baik dengan kadar langganan 4.76 kali ganda, berikutan jumlah terbitan yang dinaikkan daripada RM250 juta pada permulaannya.

Transaksi penting itu menarik permintaan kukuh daripada pelbagai kumpulan pelabur berkualiti tinggi yang terdiri daripada syarikat insurans, pengurus dana, bank, bank swasta dan entiti separa kerajaan.

Tawaran tersebut mencapai tebaran atau spread yang ketat, bersamaan dengan 54 mata asas di atas kadar Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) empat tahun dan lebih rendah daripada hasil bon MBSM sedia ada yang didagangkan di pasaran.

Timbalan Ketua Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata walaupun menghadapi keadaan pasaran global yang tidak menentu, terbitan MTN itu berjaya memperoleh harga yang ketat serta permintaan kukuh daripada pelabur institusi untuk menjadi terbitan terbesar MBSM setakat ini.

"Ini merupakan pengesahan jelas keyakinan pelabur terhadap kredit kukuh dan pengurusan mudah tunai MBSM yang proaktif. Di tengah-tengah persekitaran kadar faedah rendah pada masa ini, UOB Malaysia akan terus menyokong pelanggan kami memanfaatkan pasaran modal hutang untuk memenuhi keperluan mudah tunai selain mengoptimumkan struktur pembiayaan mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata transaksi tersebut telah diselesaikan dalam ketidaktentuan pasaran semasa yang meningkat, membuktikan keyakinan pelabur terhadap Kumpulan Mercedes-Benz dan kejayaannya menunjukkan bahawa kecairan domestik masih tersedia untuk penerbit berkualiti.

MBSM adalah anak syarikat Mercedes-Benz Mobility AG, bahagian daripada Mercedes-Benz Group AG.

Sementara itu Ketua Pegawai Kewangan MBSM Philipp Zuehlke berkata terbitan itu menunjukkan pemahaman kedua-dua bank tersebut terhadap industri automotif dan keperluan unik MBSM sebagai peneraju dalam sektor kereta premium global.

Transaksi MTN itu menunjukkan keyakinan dan sokongan Mercedes Benz Group terhadap pasaran hutang domestik dan merupakan sebahagian daripada program tawaran hutang MBSM berjumlah RM3.0 bilion yang dilancarkan pada Mei 2018.

-- BERNAMA