Watsons Malaysia semalam membuat permohonan maaf di atas penyiaran video ‘Legenda Cun Raya’ yang mengundang reaksi negatif daripada orang ramai.

“Kami dengan rasa yang teramat kesal memohon ampun dan maaf di atas video terbaru kami “Legenda Cun Raya’ yang dikeluarkan pada media sosial di Malaysia.

“Video 15 minit itu diilhamkan oleh legenda Melayu Dayang Senandong yang dipopularkan pada tahun 1965 dalam filem “Dayang Senandong”. Niat kami adalah untuk menyampaikan konsep kecantikan dalaman dan luaran, malangnya video itu telah menyinggung perasaan ramai pihak.

“Dengan rasa yang teramat kesal, kami mengakui bahawa video ‘Legenda Cun Raya’ tidak selari dengan nilai-nilai yang kita hargai di Malaysia. Watsons Malaysia mengambil tanggungjawab diatas video dan kandungannya termasuk beberapa unsur-unsur yang telah menyinggung perasaan ramai pihak.

“Berikutan maklum balas daripada orang awam, Watsons Malaysia telah mengambil langkah untuk menghentikan tayangan video dan kami menghargai maklum balas yang diberikan bagi memastikan keharmonian dalam menyambut perayaan Hari Raya.

“Melangkah kehadapan, kami akan sentiasa mengambil kira pandangan daripada orang awam dan pelanggan setia kami. Bagi pihak Watsons Malaysia, kami dengan rasa amat rendah diri memohon ampun dan maaf diatas kekhilafan kami," kata Pengurus Besar dan Ketua Negara Watsons Malaysia, Caryn Loh dalam satu kenyataan media.

Iklan itu menampilkan sejumlah selebriti termasuk Ruhainies, Uqasha Senrose, Sasha Saidin, Amber Chia, Kamal Adli, Raja Ilya, Thanuja, Najua P Ramlee dan Bell Ngasri.

Antara aspek tidak boleh diterima oleh orang ramai ialah watak gadis berkulit hitam legam, yang dikatakan tidak sensitif.