KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi tumpuan komuniti pelancongan global apabila Persidangan World Federation of Great Towers (WFGT) 2026 secara rasmi membuka tirai pada Selasa di Menara Berkembar Petronas, menghimpunkan lebih 70 delegasi daripada pengendali menara ikonik, tarikan pelancongan antarabangsa, pemimpin industri dan pakar pelancongan dari lebih 16 negara.
Persidangan bertemakan “In Pursuit of Excellence” itu dianjurkan oleh Petronas Twin Towers Sky Xperience dan dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui.
Penganjuran WFGT 2026 turut menyokong aspirasi negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa serta hab pertukaran ilmu, kerjasama strategik dan penganjuran acara bertaraf antarabangsa.
Ditubuhkan pada 1989, WFGT ialah pertubuhan antarabangsa bukan berasaskan keuntungan yang menghimpunkan lebih 50 menara ikonik dari seluruh dunia dengan jumlah kunjungan melebihi 45 juta pelawat setiap tahun.
Persidangan tahunannya menjadi platform untuk ahli berkongsi amalan terbaik, meneroka trend baharu industri dan membincangkan masa depan sektor tarikan pelancongan berasaskan mercu tanda global.
Dalam ucapannya, Su Fui berkata kehadiran wakil daripada lebih 25 menara ikonik dunia serta ahli WFGT ke Kuala Lumpur mencerminkan kepentingan mercu tanda sebagai simbol identiti, kemajuan dan kebanggaan sesebuah bandar serta negara.
“Malaysia berbesar hati mengalu-alukan kehadiran wakil daripada lebih 25 menara ikonik dunia serta ahli-ahli World Federation of Great Towers ke Kuala Lumpur.
“Kehadiran mereka mencerminkan kepentingan mercu tanda ikonik sebagai simbol identiti, kemajuan dan kebanggaan sesebuah bandar serta negara.
“Ketika kita sedang berusaha sama mencapai matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, mercu tanda seperti Menara Berkembar Petronas memainkan peranan yang semakin penting dalam memperkukuh imej Malaysia di persada dunia. Ia bukan sekadar tarikan pelancongan, tetapi juga duta negara yang mencerminkan budaya, keramahan rakyat, inovasi dan aspirasi kecemerlangan Malaysia,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata WFGT 2026 membuka peluang memperkenalkan bukan sahaja Menara Berkembar Petronas, malah keseluruhan Presint KLCC dan Kuala Lumpur kepada komuniti pelancongan antarabangsa.
“Kami amat berbesar hati mengalu-alukan komuniti menara global ke Kuala Lumpur.
“Walaupun Menara Berkembar Petronas menjadi tarikan utama yang membawa mereka ke sini, kami berharap pengalaman, budaya dan semangat kota raya ini akan meninggalkan memori yang berkekalan.
“Bagi kami, kehebatan sesebuah menara bukan sekadar diukur melalui keunikan seni binanya, tetapi bagaimana ia mampu memberi inspirasi kepada setiap pengunjung yang melangkah masuk ke dalamnya.
“Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, inilah masa terbaik untuk memperkenalkan Kuala Lumpur dan Malaysia kepada dunia.
“Kami berharap para delegasi bukan sahaja memperoleh manfaat melalui perbincangan profesional sepanjang persidangan, malah berpeluang meneroka pelbagai pengalaman menarik yang ditawarkan negara ini,” ujarnya.
Pengarah Eksekutif WFGT, Jean-Yves Ghazi pula menyifatkan Kuala Lumpur sebagai lokasi ideal untuk menghimpunkan komuniti menara ikonik dunia, sambil menekankan kepentingan kerjasama antara destinasi dalam memastikan pengalaman pelawat terus relevan dan bersedia menghadapi masa hadapan.
“Menara Berkembar Petronas merupakan antara mercu tanda paling dikenali di dunia dan melambangkan inovasi, aspirasi serta kecemerlangan yang menjadi teras kepada World Federation of Great Towers.
“Kuala Lumpur menyediakan persekitaran yang ideal untuk membincangkan masa depan pelancongan, keterlibatan pelawat dan pembangunan destinasi.
“Dalam dunia yang sentiasa berubah, kolaborasi antara destinasi ikonik menjadi semakin penting bagi memastikan pengalaman pelawat terus relevan, menarik dan bersedia menghadapi masa hadapan.
“Kami berbesar hati dapat berada di Malaysia dan merasai sendiri kehangatan serta keramahan yang terkenal di seluruh dunia,” jelasnya.
Sebagai pengendali PETRONAS Twin Towers Sky Xperience, Petrosains Sdn Bhd turut memainkan peranan dalam menjayakan persidangan berkenaan, yang berlangsung selepas Menara Berkembar PETRONAS meraikan ulang tahun ke-27 pada 31 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad berkata penganjuran WFGT 2026 membolehkan Malaysia mengambil bahagian dalam perbincangan global mengenai masa depan pelancongan dan pengalaman pelawat, selain mengetengahkan inovasi, hospitaliti serta penceritaan bermakna.
“Penganjuran Persidangan World Federation of Great Towers merupakan satu pencapaian penting buat kami.
“Selain mengalu-alukan delegasi dari seluruh dunia, persidangan ini memberi peluang kepada Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada perbincangan global mengenai masa depan pelancongan dan pengalaman pelawat.
“Ia juga membolehkan kami mempamerkan bagaimana inovasi, hospitaliti dan penceritaan yang bermakna mampu membentuk destinasi yang terus memberi inspirasi kepada generasi masa kini dan akan datang.
“Kami berbangga dapat memperkenalkan yang terbaik tentang Malaysia sambil mengukuhkan jaringan kerjasama antarabangsa yang akan menyumbang kepada pembangunan pengalaman pelawat yang lebih menarik, berimpak dan berdaya saing pada masa hadapan,” katanya.
Sepanjang minggu persidangan, delegasi akan menyertai sesi dialog strategik, perkongsian teknikal dan pengalaman terpilih yang memfokuskan kepada keterlibatan pelawat, kelestarian komersial, inovasi teknologi serta kecemerlangan operasi.
Selain itu, pihak terlibat turut berpeluang melawat Menara Kuala Lumpur dan Kuantan 188, yang juga merupakan ahli WFGT, bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai landskap pelancongan Malaysia.
Menara Kuala Lumpur, Kuantan 188 dan Elang Wah Sdn Bhd selaku rakan strategik persidangan turut membantu memperkenalkan kepelbagaian produk serta pengalaman pelancongan Malaysia kepada komuniti pelancongan antarabangsa.
Penganjuran WFGT 2026 yang menghimpunkan pengendali tarikan pelancongan ikonik dengan jutaan pelawat setiap tahun, sekali gus memperluas hubungan Malaysia dengan komuniti pelancongan global serta menyokong aspirasi negara sebagai destinasi pilihan bagi acara antarabangsa, kerjasama strategik dan inovasi pelancongan pada masa hadapan.