Skip to main content

Malaysia

Selangor sedia makanan percuma menerusi NutriSel untuk calon SPM

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyantuni murid-murid pada Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor di Sekolah Rendah Agama Islam Seksyen 19, Shah Alam hari ini.  - Foto Bernama
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyantuni murid-murid pada Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor di Sekolah Rendah Agama Islam Seksyen 19, Shah Alam hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan Selangor merancang menyediakan makanan percuma kepada kira-kira 70,000 calon SPM melalui inisiatif khas Nutrisi Selangor (NutriSel) SPM 2026.
  • Program NutriSel telah bermula sejak Ogos lalu, melibatkan lebih 104,000 pelajar B40 dengan peruntukan melebihi RM12.5 juta daripada PBT dan UPEN.
  • Inisiatif Mega Nutrisel turut mengagihkan roti dan susu percuma kepada hampir sejuta murid di 962 sekolah seluruh Selangor sebelum peperiksaan SPM bermula.
Advertisement

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor merancang menyediakan makanan percuma kepada kira-kira 70,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri itu menerusi inisiatif khas Nutrisi Selangor (NutriSel) SPM 2026, bagi memastikan kebajikan dan keperluan pemakanan pelajar sepanjang peperiksaan diberi perhatian.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bertujuan memastikan kebajikan dan keperluan pemakanan pelajar Tingkatan Lima terus terpelihara ketika menduduki peperiksaan, khususnya bagi kertas mata pelajaran teras.

Menurutnya, penyediaan makanan itu diharap dapat membantu pelajar memberikan tumpuan sepenuhnya ketika menjawab soalan tanpa perlu bimbang mengenai keperluan makanan sepanjang peperiksaan.

Advertisement

“Sepanjang peperiksaan itu, kita akan sediakan makanan pagi atau makanan yang sewajarnya (tengah hari) kepada anak-anak ini, supaya mereka dapat memasuki dewan peperiksaan tanpa halangan serta menambah semangat mereka untuk menjawab soalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan pek makanan Program Nutrisi Selangor (NutriSel) di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, di sini hari ini.

Advertisement

Amirudin berkata inisiatif khas NutriSel SPM 2026 itu merupakan kesinambungan program NutriSel yang mula dilaksanakan sejak Ogos lepas bagi membantu memastikan kecukupan nutrisi dalam kalangan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Program berkenaan menyasarkan 104,640 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kategori B40, dengan peruntukan keseluruhan melebihi RM12.5 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM7.82 juta disumbangkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala baki RM4.73 juta diperuntukkan menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif Mega NutriSel dengan mengagihkan roti dan susu kotak secara percuma kepada 993,670 murid di 962 sekolah seluruh Selangor.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik, Farm Fresh dan Gardenia, sebagai usaha memastikan lebih ramai murid mendapat manfaat daripada bantuan pemakanan itu.

Beliau berkata pengagihan menerusi Mega NutriSel akan diteruskan sehingga 6 atau 7 Nov ini, sebelum peperiksaan SPM bermula, dengan semua pelajar menerima bantuan berkenaan secara sekali agihan.

“Peruntukannya tidak sebanyak NutriSel asas kerana kita mahu meraikan semua pelajar, dengan kawasan Shah Alam sahaja ia merangkumi hampir 125,000 murid,” katanya.

Pelaksanaan program nutrisi itu digerakkan secara bersama oleh UPEN, PBT, JAIS dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
 

Must Watch Video

Advertisement