KUALA LUMPUR: SME Bank komited membantu usahawan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meluaskan jaringan perniagaan ketika pandemik COVID-19 menerusi SME Bank XCESS 2021, yang diadakan secara maya pada 26 Julai ini.

Ketua Perhubungan Strategik SME Bank, Faiiza Mohd Mokhtar berkata, inisiatif itu menyaksikan pemadanan perniagaan peringkat kebangsaan dengan berkonsepkan melangkaui perkhidmatan pembiayaan (beyond financing).

Ia juga termasuk membantu dan memberi manfaat serta peluang kepada usahawan mendapatkan bantuan bukan sahaja dalam bentuk perkhidmatan kewangan tetapi keperluan perniagaan lain yang berkaitan.

“Mereka (PKS) boleh berinteraksi secara langsung dengan syarikat-syarikat anchor dan entiti pembiayaan atau ekuiti persendirian yang terlibat dalam program ini yang dapat membantu membuka prospek perniagaan yang lebih luas dan tersusun.

“Selain itu, PKS juga boleh mendapatkan maklumat mengenai program-program latihan pembangunan usahawan yang dikendalikan oleh Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. atau CEDAR, anak syarikat milik penuh SME Bank,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.

Dalam pada itu, Faiiza menambah, program tersebut turut menjemput 20 syarikat anchor, sembilan syarikat ekuiti persendirian termasuk agensi kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan pihak swasta berpandukan kepada empat teras utama.

“Yang pertama, Padanan Perniagaan (Business Matching) dengan pasar raya besar seperti AEON, Lulu Hypermarket dan Lesong Mart. Keduanya, Program Umbrella di bawah bimbingan syarikat seperti Ramly Food Processing, KARA Holdings (Ayamas), Bateriku.com, Chatime, Prowheels dan Petro Teguh.

“Ketiganya, Program Pembangunan Vendor bersama syarikat-syarikat seperti Pharmaniaga, Tenaga Nasional, Sime Darby Property, Malaysia Airlines, TM, Boustead Holdings Berhad, Duopharma, Celcom Axiata, UMW dan UEM Edgenta. Akhirnya juga peluang untuk PKS berinteraksi dengan organisasi pembiayaan serta syarikat-syarikat Ekuiti Persendirian/Pelaburan seperti Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Malaysia Debt Venture, Modal Perdana, Cradle, AEON Credit Service, Cope Private Equity dan Malaysia Venture Capital Management Bhd,” katanya.

SME Bank XCESS 2021 akan diadakan pada 26 Julai secara maya. - Gambar SME Bank

Sementara itu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19, program tahunan itu bakal menjadi platform terbaik untuk PKS merancakkan perniagaan.

“Adalah penting untuk PKS menyertai program ini untuk meneruskan kelangsungan dan melebarkan sayap perniagaan mereka terutama ketika COVID-19 melanda dan perlunya PKP dilaksanakan.

“Rebutlah peluang ini, sebagai institusi kewangan perbankan yang diberi mandat untuk membimbing dan memajukan PKS, SME Bank akan terus memainkan peranan, hadir dan sertailah program kami,” ujarnya.

Pendaftaran telah dibuka dan untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.smebankxcess2021.net atau laman rasmi SME Bank di www.smebank.com.my atau Facebook SME Bank.


XCESS 2021 | Bantu PKS hadapi cabaran perniagaan era pandemik

*Artikel ini adalah kandungan berbayar.