Selepas menjelajah Sarawak, Terengganu dan Johor kempen #YOUCANDUIT anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kini ke Kuantan , Pahang.

Kempen digerakkan bagi menyeru rakyat Malaysia menggunakan platform digital untuk menjana lebih pendapatan.

Di Pahang, peserta yang menyertai program eUsahawan telah menjana pendapatan sehingga RM1.3 juta.

Kempen #YOUCANDUIT edisi Pahang menyaksikan lebih 2,000 pengunjung membanjiri Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Kuantan.

#YOUCANDUIT memberi fokus kepada golongan pelajar pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), usahawan mikro serta golongan B-40 yang mempunyai pendapatan terendah melalui progam eRezeki dan eUsahawan.

Menurut Naib Presiden Bahagian Komunikasi Korporat MDEC, Razaleigh Zainal, program eUsahawan sehingga kini berjaya menjana pendapatan lebih RM12.66 juta melibatkan lebih 7,000 peserta di seluruh negara.

“Di Kuantan sahana sejak tahun lepas kita telah lihat kira-kira 160 peserta eUsahawan yang berjaya yang telah menjana hasil berjumlah RM1.3 juta,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Sabtu.

Ia disasarkan dapat menjana pendapatan tambahan sehingga RM21 juta menjelang hujung tahun ini.

Karnival kali ini turut menyaksikan beberapa personaliti tanah air seperti Azhar Sulaiman yang turut serta untuk memberi galakan dan inspirasi kepada golongan muda menggunakan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan.

“Rata-rata peserta yang datang ke sini masih belajar di IPTA dan mereka menunjukkan minat untuk melakukan sesuatu perniagaan. Saya lihat mereka juga mempunyai hasrat untuk mencari duit tambahan,” kata Azhar.

#YOUCANDUIT edisi Pahang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Koperasi Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Beliau yang mewakili Menteri Besar Pahang berkata, anak muda diseru untuk memanfaatkan teknologi digital untuk menjana pendapatan sampingan.

“Kita ingin melahirkan lebih ramai anak muda di kalangan perniagaan dan keusahawanan. Sektor digital merupakan satu sektor yang boleh melahirkan ramai usahawan di kalangan anak muda kerana ia tidak memerlukan lokasi yang besar mahupun kos yang tinggi untuk menyewa tempat untuk membuka perniagaan.

“Usaha MDEC dilihat tepat pada masa dan waktu di mana budaya anak muda ketika ini yang begitu rapat dengan system teknologi. Ia juga sejajar dengan hasrat Perdana Menteri untuk menggerakkan negara ke arah keusahawanan,” kata Shahiruddin kepada Astro AWANI.

#YOUCANDUIT merupakan sebahagian daripada agenda MDEC untuk merakyatkan ekonomi digital di bawah inisiatif Transformasi Ekonomi Digital Kebangsaan 'Digital Malaysia'.

Selepas Pahang, karnival ini bakal menjelajah ke Ipoh, Perak pada 10 September dan seterusnya di Kota Kinabalu, Sabah sebagai destinasi terakhir pada 24 dan 25 September.