Selepas jelajah Sarawak dan Terengganu, kempen #YOUCANDUIT anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kini ke selatan tanah air, Johor Bahru.

Kempen digerakkan bagi menyeru rakyat Malaysia menggunakan platform digital untuk menjana lebih pendapatan.

Siri itu memberi fokus kepada golongan pelajar pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), usahawan mikro serta komuniti B40 melalui progam e-rezeki dan e-usahawan.

Kempen #YOUCANDUIT edisi Johor menyaksikan lebih 5,000 pengunjung membanjiri Persada Johor, di sini.


Mereka hadir dengan satu hasrat, iaitu meningkatkan taraf hidup sekaligus menjana pendapatan tambahan melalui e-rezeki dan e-usahawan.

Menurut Naib Presiden Bahagian Komunikasi Korporat MDEC, Razaleigh Zainal, sehingga kini, seramai 6,500 peserta di seluruh negara mendaftar bagi program e-usahawan.

"Sehingga kini, kita sudah mempunyai hampir 6,500 peserta untuk e-usahawan. Mereka dilatih dan telah menjana pendapatan lebih kurang RM13 juta. Untuk e-rezeki pula, 20,000 orang telah dilatih dan menjana pendapatan kira-kira RM18 juta," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.

Karnival kali ini turut menyaksikan beberapa selebriti tanah air yang turut serta untuk memberi galakan dan inspirasi kepada orang ramai menggunakan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan.

Bagi Diana Danielle, beliau melihat pengiklanan secara digital kini jauh lebih berkesan berbanding pengiklanan secara konvensional melalui akhbar.

"Zaman sekarang, pengiklanan konvensional tidak lagi efektif berbanding menggunakan media sosial. Ia jauh lebih murah dari segi kos dan ada kala ia tidak melibatkan sebarang kos langsung.

"Bagi saya, ia (pengiklanan digital) sangat membantu. Ramai di luar sana seperti ibu tunggal, orang kurang upaya ataupun golongan muda yang tiada pengalaman dalam perniagaan telah pun berjaya. Ini kerana mereka mempunyai sifat untuk mencabar diri mereka untuk jadi lebih berjaya," kata Diana.

Bagi pelakon Fizo Omar pula, beliau berpendapat bahawa usahawan perlu mementingkan aspek ilmu berbanding modal jika ingin berjaya dalam menjalankan perniagaan.

"Sebagai seorang usahawan, saya rasa yang penting adalah modal ilmu kerana ilmu itu yang akan menjana pendapatan. e-rezeki dan e-usahawan adalah salah satu platform untuk mendapat ilmu tentang perniagaan.

"Apabila mereka ada ilmu, ia boleh mencipta idea untuk mereka menjalankan perniagaan ataupun, sekiranya mereka sudah mempunyai perniagaan, ilmu itu mampu melipatgandakan perniagaan mereka," kata Fizo.

#YOUCANDUIT merupakan sebahagian daripada agenda MDEC untuk merakyatkan ekonomi digital di bawah inisiatif Transformasi Ekonomi Digital Kebangsaan 'Digital Malaysia'.

Karnival #YOUCANDUIT di Johor menjadi sebahagian daripada Inovasi Digital Johor 2016 yang berlangsung sehingga 14 Ogos.

Selepas Johor, karnival ini bakal menjelajah ke Kuantan, Pahang pada 27 - 28 Ogos dan seterusnya di Ipoh, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah pada September ini.