KUALA LUMPUR: YTL Power International Berhad dan JLand Group merancang pembangunan bersama sebuah kampus pusat data baharu berskala gigawatt di Sedenak Tech Park West (STeP West), Johor.
Pengarah Urusan Kumpulan JLand, Datuk Sr Akmal Ahmad berkata, kerjasama strategik dalam ekosistem Ibrahim Technopolis (IBTEC) itu bakal membawa pelaburan infrastruktur digital berskala besar serta memperkukuh ekosistem teknologi di negeri berkenaan.
“Kami berbesar hati mengalu-alukan YTL Power ke dalam ekosistem IBTEC kerana kehadirannya di STeP West membawa pelaburan infrastruktur digital yang signifikan serta memperkukuh ekosistem lebih luas merangkumi tenaga, utiliti, teknologi dan industri sokongan.
“Kami berharap YTL Power dapat menyumbangkan keupayaan dan rangkaiannya ketika kami terus membina platform yang menarik pelaburan saling melengkapi, mewujudkan peluang baharu serta memperkukuh kedudukan Johor dalam ekonomi digital serantau,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menerusi kerjasama itu, anak syarikat YTL Power, SIPP Power Sdn Bhd akan memperoleh kira-kira 145 ekar tanah di STeP West.
Syarikat itu turut mempunyai opsyen memperoleh sehingga 400 ekar lagi bagi peluasan masa depan, sekali gus berpotensi menjadikan keseluruhan tapak kampus berkenaan seluas kira-kira 545 ekar.
Kampus Sedenak itu dijangka memperluas jejak pusat data YTL Power di Johor serta melengkapi YTL Green Data Center Park di Kulai yang dirancang mempunyai kapasiti sehingga 1.2 gigawatt (GW).
Gabungan kedua-dua kampus akan menyediakan skala dan fleksibiliti bagi memenuhi peningkatan permintaan serantau terhadap pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan digital berintensifkan tenaga.
Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Datuk Seri Yeoh Seok Hong menyifatkan pembangunan kampus baharu di Sedenak sebagai peluasan penting kepada platform infrastruktur digital syarikat itu di Johor dan rantau ini.
“Bersama peluasan kampus Kulai, Sedenak akan mengukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai pusat serantau utama bagi kecerdasan buatan, pengkomputeran awan dan inovasi digital,” katanya.
Pembangunan berkenaan dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dalam sektor pembinaan, kejuruteraan, teknologi dan operasi pusat data.
Pada masa sama, ia berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi menerusi rantaian bekalan berkaitan tenaga, infrastruktur dan teknologi.
Kedudukan Johor yang berhampiran Singapura, disokong kesalinghubungan antarabangsa, peluasan infrastruktur dan pertumbuhan ekosistem teknologi, turut meningkatkan daya tarikan negeri itu sebagai destinasi pelaburan infrastruktur digital global.
STeP yang terletak dalam IBTEC merupakan platform JLand Group bagi pembangunan digital dan teknologi canggih berskala besar, dengan STeP West menjadi fasa pertumbuhan seterusnya selepas STeP East.
Kerjasama itu menggabungkan pengalaman YTL Power dalam membangunkan dan mengendalikan infrastruktur digital berskala besar dengan peranan JLand Group sebagai pemaju induk IBTEC.