Ringkasan AI
- UNIFIL mula menyerahkan beberapa pos kawalan di selatan Lubnan kepada tentera Lubnan sebagai persediaan penamatan mandat pasukan pengaman itu.
- Ketua Misi UNIFIL menegaskan tugas utama seperti pemantauan, bantuan kemanusiaan dan perlindungan orang awam akan diteruskan sehingga mandat tamat.
- Sejak Mac hingga November, sekurang-kurangnya 4,390 maut dan lebih 1.2 juta penduduk Lubnan kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan.
BEIRUT: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mula menyerahkan beberapa pos kawalannya di selatan Lubnan kepada tentera negara itu sebagai persediaan menjelang penamatan mandat pasukan pengaman berkenaan.
Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA), Ketua Misi UNIFIL Diodato Abagnara pada Sabtu menekankan kepentingan memastikan tiada kekosongan keselamatan berlaku selepas misi itu berakhir.
Bercakap pada pertemuan bersama lebih 70 wanita daripada komuniti setempat di bandar Tyre, selatan Lubnan, beliau berkata tugas utama pasukan itu perlu diteruskan, termasuk memantau dan melaporkan pelanggaran, menyalurkan bantuan kemanusiaan, melindungi orang awam serta menyokong komuniti tempatan dan golongan wanita.
Abagnara berkata masa depan kehadiran PBB di selatan Lubnan bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan PBB.
Beliau turut menyifatkan pendudukan berterusan Israel di beberapa kawasan selatan Lubnan sebagai "pelanggaran jelas" terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, sambil menegaskan bahawa anggota pengaman akan terus melaksanakan tugas sehingga hari terakhir mandat mereka.
UNIFIL ditempatkan di selatan Lubnan sejak 1978, manakala Resolusi 1701 memperluas mandatnya pada 2006 bagi merangkumi pemantauan pemberhentian permusuhan dan menyokong penempatan tentera Lubnan di selatan Sungai Litani.
Pada Ogos 2025, Majlis Keselamatan PBB melanjutkan mandat UNIFIL buat kali terakhir sehingga 31 Dis 2026, dengan pengunduran pasukan itu secara berperingkat dijadual bermula pada 2027.
Israel terus melancarkan serangan di Lubnan meskipun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 17 April.
Menerusi kerangka perjanjian yang dimeterai pada 26 Jun dengan pengantaraan Amerika Syarikat (AS), Lubnan dan Israel bersetuju melaksanakan proses berperingkat pengunduran Israel dari wilayah Lubnan dengan pemulihan kawalan tentera Lubnan serta pelucutan senjata kumpulan bersenjata bukan negara yang disahkan.
Kementerian Kesihatan Lubnan merekodkan sekurang-kurangnya 4,390 kematian antara 2 Mac hingga 5 Nov, manakala Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) memaklumkan jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal mencecah lebih 1.2 juta orang.
-- BERNAMA-ANADOLU