Sepuluh ekor kambing di Kampung Godekere, Karnataka, India terpaksa menjalani ujian COVID-19 selepas dua orang petani disahkan positif virus itu.

Berdasarkan rakaman pada 30 Jun lalu, pegawai Jabatan Peternakan Haiwan dilihat memakai pakaian pelindung diri (PPE), dan sedang mengambil sampel daripada haiwan tersebut.

Timbalan pengarah bahagian Peternakan Tumkur, KG Nandish berkata, kawanan kambing itu menunjukkan gejala masalah pernafasan.

Susulan masalah tersebut, jelas beliau lima ekor kambing telah dihantar ke Institut Kesihatan Haiwan dan Biologi Veterinar untuk rawatan lanjut.

Sementara lima ekor lagi dihantar ke Institut Nasional untuk penyakit haiwan berisiko tinggi di Bhopal.

Sebanyak 47 ekor kambing pula dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.