Sekurang-kurangnya 12 maut manakala 35 lagi cedera dalam kejadian serangan di sebuah kolej pertanian di Peshawar, Pakistan.

Tiga penyerang dilaporkan memakai burqa bagi mendekati kawasan kolej itu menggunakan beca motor sebelum menembak orang ramai.

Anggota polis dan tentera kemudian berbalas tembakan yang menyebabkan kesemua penyerang itu terbunuh.

Menurut Ketua polis Salahuddin Mahsud, mangsa cedera termasuk dua anggota tentera, tujuh anggota polis, seorang wartawan dan seorang pengawal keselamatan selain pelajar kolej terbabit.

Seorang pelajar, Noor Wali, 19, berkata dia menyorok daripada penyerang itu bersama rakannya yang cedera parah dalam insiden terbabit.

“Saya lari ke pintu dan terlihat darah memancut daripada bahu rakan sebilik saya yang sedang berdiri di luar bilik.

“Kami kemudian menyorok di dalam bilik,” dia berkata.

Salahuddin berkata polis merampas pakaian dilengkapi bahan letupan, bom tangan dan senapang daripada penyerang terbabit.

Kumpulan militan Tehrik-e-Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Serangan itu turut dikutuk keras Menteri Besar Wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

“Kumpulan militan ini tidak mempunyai agama dan mereka lakukan serangan semasa negara ini sedang meraikan Maulidur Rasul,” beliau berkata.

Kejadian ini berlaku seminggu selepas seorang penyerang bunuh diri membunuh anggota polis pegawai tinggi di bandar itu dan beberapa minggu selepas satu tunjuk perasaan yang bertukar ganas di Islamabad yang meragut nyawa tujuh orang manakala ratusan lagi cedera.